
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Omar Ali berkata, sekiranya Wee yakin penetapan harga siling merupakan punca kepada kekurangan bekalan telur itu, beliau sepatutnya sudah mencadangkannya sebelum ini.
“Saya kurang pasti sama ada isu bekalan ini dapat diselesaikan dengan menaikkan harga telur semata-semata,” katanya di Facebooknya.
Pada Isnin lalu, Wee mencadangkan pengeluar tempatan wajar dibayar 50 sen bagi sebiji telur dan bukan mengimportnya dari India dengan harga berkenaan.
Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memberi keutamaan kepada pengeluar tempatan dengan menghapuskan kawalan harga terhadap telur kerana mereka mengalami kerugian akibat kos pengeluaran tinggi.
Kenyataannya itu susulan lawatan Mohamad ke India hujung minggu lalu bagi melihat proses pengeluaran telur ayam yang dieksport ke Malaysia.
Beliau ketika itu dilaporkan menyuarakan keyakinan bahawa telur dihasilkan di India selamat untuk dimakan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Wee mempertikai kesegaran telur dari India yang pasti mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk sampai ke Malaysia menaiki kapal.
Dalam pada itu, Sheikh Omar berkata, isu kekurangan bekalan telur ayam di negara ini adalah jauh lebih rumit dari sekadar berpusing-pusing sekitar hal penetapan harga siling semata-mata.
Katanya, isu harga telur juga pastinya terkait dalam kitaran besar proses penternakan ayam telur termasuklah isu-isu berkaitan harga makanan ayam dan sebagainya.
“Formula mencari titik keseimbangan antara kepentingan rakyat untuk mendapatkan telur ayam pada kadar harga yang berpatutan dengan kepentingan pengeluar telur ayam mesti diusahakan sebaiknya demi solusi jangka panjang.
“Sebagai salah seorang ahli kerajaan perpaduan juga, Wee tentu sahaja boleh membawa isu ini terus ke perhatian menteri di Putrajaya sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah bulan lalu,” katanya.
Sheikh berkata, jika cadangannya itu dibawa terus kepada menteri, Wee sudah tentu boleh turut serta tinjauan ke ladang-ladang penternakan ayam dan pengeluaran telur tempatan.