Terus perjuang kuota 30% calon wanita dalam PRN, kata Noraini

Terus perjuang kuota 30% calon wanita dalam PRN, kata Noraini

Ketua Wanita Umno berkata, setakat ini penglibatan tertinggi wanita Umno adalah pada PRN Johor tahun lalu yang menyaksikan mereka mendapat kuota sebanyak 25%.

Noraini Ahmad berkata Wanita Umno akan terus konsisten memperjuangkan kuota 30% calon wanita pada pilihan raya negeri.
KUALA LUMPUR:
Wanita Umno tidak akan berputus asa dalam memberi tekanan kepada pimpinan tertinggi untuk mengotakan janji mengenai pemberian kuota 30% calon wanita, khususnya pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Ketuanya Noraini Ahmad berkata, wakil-wakil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang hadir ke Perhimpunan Agung Wanita Umno perlu membantu memberikan tekanan kepada kepimpinan parti supaya kuota 30% calon wanita itu dapat dilaksanakan.

“Kita akan konsisten memperjuangkan penglibatan Wanita Umno sehingga sasaran minimum 30% ini berjaya,” katanya pada ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Wanita Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Noraini berkata, setakat ini penglibatan tertinggi wanita Umno adalah pada PRN Johor tahun lalu yang menyaksikan mereka mendapat kuota sebanyak 25%, serta mencecah hampir 30% kuota calon pada PRN Kedah.

“Kita memang sabar, sabar pun ada hadnya, walaupun kita tunggu bertahun-tahun, Insya-Allah saya yakin dan percaya tiba masa dan ketikanya perjuangan ini akan membuahkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini meminta supaya semua ahli memberi kepercayaan kepada pimpinan parti yang berada dalam Jemaah Menteri untuk membawa suara dan mandat akar umbi.

“Ini bukan masa untuk kita mencari salah, menuding jari dan bertelagah sesama sendiri. Ini masa bekerja.

“Inilah masanya kami mengambil langkah sederap, cabaran pilihan raya di enam negeri masih belum selesai,” katanya.

Terdahulu, perwakilan Wanita Umno Perak, Sabariah Zakaria ketika membahaskan ucapan Dasar Ketua Wanita Umno mendedahkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi gagal menunaikan janjinya untuk memberi kuota 30% calon wanita pada PRU15 lalu.

Beliau turut meluahkan kekecewaan apabila ketua Wanita Umno yang menang dalam PRU15 lalu tidak diberikan tempat dalam Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.