Warisan mahu Sabah segera bentang RUU anti-lompat parti

Warisan mahu Sabah segera bentang RUU anti-lompat parti

Warisan berkata perkara itu sehingga kini belum dilaksanakan walaupun Ketua Menteri Hajiji Noor sudah menyatakan komitmen dan beberapa kenyataan mengenainya dibuat tahun lalu.

Sabah sepatutnya membentang RUU anti-lompat parti pada hujung November lalu namun ditangguhkan susulan PRU15 dalam tempoh itu. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan Assafal P Alian menggesa kerajaan negeri membentangkan rang undang-undang anti-lompat parti di DUN Sabah dengan segera.

Katanya, perkara itu sehingga kini belum dilaksanakan walaupun Ketua Menteri Hajiji Noor sudah menyatakan komitmen dan beberapa kenyataan mengenainya dibuat tahun lalu.

“Setelah melihat kepada apa yang berlaku kebelakangan ini, serta pergolakan politik, saya menggesa agar Sabah segera membentangkan RUU anti-lompat parti.

“Langkah ini selari dengan apa yang telah dibuat di peringkat persekutuan dan juga beberapa negeri lain yang bertujuan untuk mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi dan sistem politik negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Assafal berkata, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) atau lebih dikenali sebagai RUU anti-lompat parti melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mula berkuat kuasa sejak 5 Okt 2022.

Selaras pindaan itu, katanya kerajaan persekutuan sudah meminta kerajaan negeri mengguna pakai pindaan yang digubal bawah Jadual Ke-8 Pindaan Perlembagaan itu untuk terpakai kepada ADUN.

“Bagi kerajaan Sabah, pemakaian RUU anti-lompat parti, setakat ini masih lagi belum dilaksanakan walaupun sudah ada beberapa kenyataan media sejak awal Nov 2022 oleh ketua menteri yang memberikan komitmen untuk tujuan tersebut.

“Jika RUU ini dibentang dan diluluskan di DUN Sabah, ia akan dapat membawa kepada kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan negeri sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang jelas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.