Jaga mulut atau ‘tsunami hijau’ terus membesar, Sanusi beritahu Rafizi

Jaga mulut atau ‘tsunami hijau’ terus membesar, Sanusi beritahu Rafizi

Pengerusi PN Kedah Sanusi Md Nor berkata 'formula sampah' menyaksikan PH hampir dihapuskan di Kedah dalam PRU15.

Sanusi Md Nor berkata Rafizi Ramli berkelakuan seperti beliau tidak pernah salah dan sentiasa benar dalam semua hal.
ALOR SETAR:
“Tsunami hijau” PAS akan terus membesar jika Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berterusan menuduh pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan dakwaan tidak berasas, kata Pengerusi PN Kedah, Sanusi Md Nor.

Rafizi dalam ucapan di konvensyen PKR semalam menuduh PAS menang besar dalam PRU15 kerana faktor wang dan Sanusi menggunakan “formula sampah” di Kedah yang tidak akan bertahan lama.

Mengulas kenyataan Rafizi itu, Sanusi berkata “formula sampah” serupa menyaksikan Pakatan Harapan (PH) hampir dihapuskan di Kedah pada PRU15.

Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata, PRU15 turut menyaksikan pengundi keluar beramai-ramai dan menghukum PH apabila mereka kalah 14 daripada 15 kerusi Parlimen.

“Bagi Rafizi, beliau dan PH tak pernah salah, sempurna dan sentiasa benar dalam semua hal. Sebenarnya, tiada siapa menolak PH dan BN kerana politik wang.

“Tuduhan Rafizi itu umpama menuduh pengundi tidak bijak. Beliau telah menghina pengundi,” katanya kepada FMT.

Sanusi berkata, jika Rafizi terus dengan penipuan dan sikap bongkak, “tsunami hijau” yang berlaku pada PRU15 akan terus membesar sehari demi sehari setiap kali Rafizi membuka mulutnya.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS berkata, pengundi kini sudah bijak untuk menilai calon dan parti berasaskan prestasi bukannya bergantung kepada cakap-cakap dan retorik.

“Jika masalah telur dan ayam masih gagal diuruskan apatah lagi harga minyak yang sentiasa dijanjikan akan diturunkan tetapi tidak turun.

“Rafizi akan menjadi punca PH dihukum dalam PRN di enam negeri dan PRU16 nanti,” katanya.

Kata Sanusi, PAS akan terus menjadi parti “tin Milo”, tidak seperti PKR yang ditaja tauke besar dan kempen naik helikopter.

Sanusi merujuk kenyataan Rafizi semalam bahawa dana PAS kini semakin susut selepas berbelanja mewah dalam PRU15 untuk menarik pengundi.

Kata Rafizi, PAS akan kembali kepada cara lama untuk mengutip dana menggunakan “tin Milo” di ceramah.

“Raja politik wang Rafizi pun tahu siapa, beliau sedang bersekedudukan dengan mereka (dalam kerajaan) sekarang ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.