Lelaki didakwa tipu jual beli pesawat, helikopter lebih RM7 juta

Lelaki didakwa tipu jual beli pesawat, helikopter lebih RM7 juta

Ismail Hassan didakwa muflis menipu seorang ahli perniagaan membeli pesawat Cessna 650 dan helikopter jenis EC120B bernilai RM7.09 juta.

Tertuduh Ismail Hassan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu pembelian pesawat dan helikopter berjumlah lebih RM7 juta, enam tahun lalu. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menipu berhubung pembelian pesawat dan helikopter berjumlah lebih RM7 juta, enam tahun lalu.

Tertuduh Ismail Hassan, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dengan memperdayakannya bahawa beliau hendak membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX) dengan harga RM7,092,995.

Tertuduh telah menyerahkan dua cek bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada mangsa sedangkan beliau mengetahui bahawa kedua-duanya tidak boleh ditunaikan.

Ismail didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, Sentul di sini pada 21 Feb 2019 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ismail didakwa sebagai seorang muflis yang belum dilepaskan telah memasuki satu perjanjian pinjaman bertarikh 29 Nov 2017 dengan lelaki sama bagi tujuan pembelian pesawat dan helikopter sama serta penubuhan sebuah syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini pada 29 Nov 2017 mengikut Seksyen 109(1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Josiendra Abu Senin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Zainal Omar, yang mewakili Ismail, memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya telah muflis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.