
Datchinamurthy Kataiah, Pannir Selvam Pranthaman dan Saminathan Selvaraju antara 12 pesalah yang menunggu rayuan mereka didengar di mahkamah itu, kata Dobby Chew dari Rangkaian Asia Anti Hukuman Mati kepada FMT.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Gobi Avedian yang disabitkan atas kesalahan dadah tetapi tidak dikenakan hukuman mati, turut membuat rayuan.
Chew berkata, rakyat Malaysia itu membuat rayuan dengan alasan surat peribadi kepada peguam bela mereka dalam beberapa kejadian disalin dan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara tanpa pengetahuan atau kebenaran mereka.
“Sebahagian surat ini termasuklah komunikasi khas dengan peguam. Pejabat Peguam Negara adalah agensi kerajaan yang mendakwa tahanan ini.
“Tahanan ini pernah memfailkan saman sivil terhadap Pejabat Peguam Negara tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada tahun lalu,” kata Chew.
Datchinamurthy dijadual menjalani hukuman mati pada tahun lalu. Bagaimanapun, tahanan itu berjaya mendapatkan penangguhan daripada Mahkamah Tinggi sementara menunggu samannya terhadap kerajaan Singapura berhubung hukuman mati terhadapnya.
Pannir didakwa di Singapura kerana menyeludup heroin pada 2017 manakala Saminathan didakwa menyeludup diamorphine bersama dua yang lain pada 2013.
Menurut Chew, Gobi ditangkap pada 11 Dis 2014 di di pusat pemeriksaan Woodlands dan didakwa atas tuduhan menyeludup 40.22g heroin. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menukar dakwaan kepada cubaan menyeludup dadah pada 2017.
Gobi kini berdepan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan.
Rakyat Malaysia terakhir yang dihukum mati di Singapura atas kesalahan dadah adalah Kalwant Singh. Lelaki itu dihukum gantung pada Julai tahun lalu.
Kalwant didapati bersalah pada Jun 2016 memiliki 60.15gm diamorphine dan menyeludup 120.9gm dadah itu ke Singapura.
Sebelum itu, rakyat Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam juga dihukum gantung di Singapura pada 27 April tahun lalu kerana menyeludup heroin.