Pengecualian cukai bonus penjawat awam tak jejas pendapatan negara, kata Cuepacs

Pengecualian cukai bonus penjawat awam tak jejas pendapatan negara, kata Cuepacs

Presidennya, Adnan Mat berkata jumlah bonus yang diterima penjawat awam tidak tinggi iaitu purata sekitar RM700 sehingga RM2,000 seorang.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, pertimbangan perdana menteri dengan tidak mengenakan cukai adalah munasabah dan amat memahami mengenai soal kebajikan warga penjawat awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpendapat pengecualian cukai pendapatan ke atas bonus penjawat awam tidak menjejaskan hasil atau sasaran kutipan cukai kerajaan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ini kerana kebanyakan jumlah bonus diterima penjawat awam negeri termasuk di peringkat persekutuan tidak tinggi iaitu purata sekitar RM700 sehingga RM2,000 seorang.

Jelasnya, bonus diterima itu juga bersifat bantuan khas diberikan kerajaan negeri bagi memberi sedikit penghargaan serta meringankan beban kewangan ditanggung penjawat awam.

“Terdapat juga kerajaan negeri yang membuat bayaran secara berperingkat mengikut fasa dan tidak berbentuk sekali gus.

“Justeru itu, pertimbangan perdana menteri dalam hal ini adalah munasabah dan amat memahami mengenai soal kebajikan warga penjawat awam.

“Adalah tidak wajar jika ia tetap dikenakan cukai pendapatan memandangkan nilainya yang tidak begitu tinggi dan bersifat untuk membantu warga penjawat awam,” katanya dalam kenyataan.

Tambahan pula, beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri juga difahamkan berjaya melebihi sasaran kutipan cukai ditetapkan pada 2022.

Terdahulu dalam sidang media, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa semua kakitangan kerajaan negeri yang menerima bonus akan dikecualikan daripada cukai.

Beliau berkata, ini terpakai bagi semua perkhidmatan awam di semua negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.