
“Di atas kertas, beliau mempunyai peluang baik menang kerana PH dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan bekerjasama, namun hakikatnya di akar umbi ia berbeza,” kata Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir kepada FMT.
Dilaporkan, Tengku Zafrul yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, dijangka bertanding menjelang pilihan raya negeri (PRN) Selangor.
Menurut laporan, bekas menteri kewangan itu juga berkemungkinan bertanding di satu daripada tiga kerusi di bawah Parlimen Kota Raja, selepas berpindah ke Umno Bahagian Kota Raja.
Tiga kerusi DUN terbabit adalah Sentosa, Kota Kemuning dan Sungai Kandis, yang mana kerusi berkenaan dikuasai sama ada DAP atau PKR sejak 2008.
“Kawasan itu dikuasai parti dari PH sejak sekian lama,” kata Jeniri.
“Akar umbi dalam kawasan itu, terutama calon dan penyokong mereka mungkin tidak senang dengan idea calon payung terjun, terutama dari Umno.”
Beliau berkata, seandainya ahli PH dan BN bersetuju menyokong Tengku Zafrul, tindakan itu tidak semestinya disambut baik dalam kalangan pengundi.
“Ramai pemimpin PH bersifat kritikal terhadap Tengku Zafrul ketika beliau menjadi menteri kewangan, termasuk Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
“Adakah mereka akan menyokongnya? Saya tidak fikir ia berlaku kerana akan menjejaskan kredibiliti mereka sendiri. Jadi, saya berpandangan sukar bagi Tengku Zafrul untuk menang.”
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, yakin penyokong PH akan memberi sokongan kepada Tengku Zafrul.
“Ini kerana jika BN dan PH bekerjasama, pilihan bagi penyokong PH antara beliau dan Perikatan Nasional (PN),” katanya sambil menyatakan tidak akan berlaku protes dalam kalangan penyokong PH.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, optimis dengan peluang Tengku Zafrul dengan menyatakan beliau boleh menang sekiranya PH dan BN bekerjasama.
Beliau berkata, PH menikmati sokongan bukan Melayu dan dengan sokongan BN dalam kalangan Melayu menjadikan peluang PN menang cukup sukar.
Terdahulu, Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, berkata keputusan kerjasama antara gabungan itu bersama BN akan ditentukan penghujung bulan ini.