Bertenang, tunggu keputusan parti, kata ADUN Umno sokong Hajiji

Bertenang, tunggu keputusan parti, kata ADUN Umno sokong Hajiji

ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya berkata, Umno Sabah mahu beliau dan empat lagi ADUN yang menyokong Hajiji Noor dikenakan tindakan.

ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya berkata, beliau belum menerima sebarang makluman atau surat daripada pucuk pimpinan Umno. (Gambar Bernama)
PUTATAN:
ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya belum menerima sebarang makluman atau surat daripada pucuk pimpinan Umno susulan tindakannya membelakangkan keputusan parti menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Timbalan ketua menteri itu berkata, beliau difahamkan Umno negeri mahu beliau dan empat ADUN parti itu dikenakan tindakan kerana kekal menyokong Hajiji.

“Seperti yang dinyatakan presiden Umno, Lembaga Disiplin akan bermesyuarat dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.

“Jadi, kita tunggulah…kita bertenang dan tunggu apa keputusan yang akan diumumkan kelak,” katanya selepas merasmikan program kesedaran keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina di sini.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, belum ada tindakan diambil terhadap lima ADUN yang terlibat dalam kemelut Umno-Barisan Nasional dan kerajaan Sabah.

Isnin lalu, Umno mengisytiharkan tempoh bertenang berhubung kemelut politik di Sabah bagi mencapai penyelesaian secara tuntas.

Selain Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan, empat lagi ADUN Umno lain ialah James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin), Arsad Bistari (Tempasuk) dan Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Kelima-limanya menyokong Hajiji untuk terus mengetuai kerajaan negeri, selepas Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan kepada Hajiji serta kerajaan negeri pimpinannya awal bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.