
Pengawal Keselamatan, Saffri Kamarudin, 45 yang tidak bersetuju dengan cadangan itu berkata, rutin harian akan terkejar-kejar kerana bertembung dengan waktu bekerja membuatkan ibu bapa sudah pasti tetap memilih menghantar anak lebih awal.
“Saya masuk kerja 8 pagi, anak tiga orang nak kena hantar. Kalau semua masuk 8 pagi, tetap kena hantar awal juga pergi sekolah, rasanya cadangan ini tidak logik, mengarut pun ada, tidak sesuai untuk mak ayah yang bekerja,” katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Bidor, Perak.
Turut senada, seorang ibu dari Rawang, Selangor, Maizurah Idris, 38 yang bekerja sebagai kerani berkata, jika sesi sekolah dilewatkan pengurusan masa juga tergendala ditambah pula jalan raya menjadi lebih sesak pada waktu tersebut.
“Kalau mula awal, ada masa nak uruskan rumah sebelum pergi kerja, dan anak tidak tunggu di sekolah. Macam saya terpaksa hantar anak lebih awal dalam 7 pagi macam itu sebab nak ambil masa pergi pejabat pula,” katanya.
Bagaimanapun, suri rumah, Faridah Abdullah, 36, dari Shah Alam bersetuju dengan cadangan sesi persekolahan di Semenanjung Malaysia dilanjutkan dari jam 7.30 ke 8 pagi.
“Saya sebagai suri rumah rasa tiada masalah pun kalau sekolah dilewatkan ke 8 pagi, ada masa lebih untuk kita siapkan bekal dan buat kerja rumah sebelum hantar anak ke sekolah,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut berpandangan pelaksanaan waktu persekolahan bermula 8 pagi sukar dan akan mendatangkan lebih banyak kesan negatif.
Yang Di-Pertua PIBG SK Cheras Jaya, Ahmad Hasni Mohamed Jalilah, berkata dengan waktu pembelajaran yang mungkin menjadi singkat memberikan lebih tekanan kepada para guru menghabiskan silibus, selain memastikan tiada pelajar tercicir.
“Sekiranya sekolah bermula 8 pagi dan berakhir 1 tengah hari, maka waktu pembelajaran sedia ada (40 minit) terpaksa dipendekkan.
“Jadi para guru akan mendapat tekanan lebih berat bagi menghabiskan ‘syllabus’ selain wujud kemungkinan ada pelajar bakal keciciran,” katanya ketika dihubungi FMT.
Selain itu, Yang Di-Pertua PIBG Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma, Nor Zuwairi Zakwa berkata, cadangan itu hanya memanfaatkan kelompok pelajar yang ibu bapa bekerja dari rumah.
Kelmarin, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad mencadangkan kerajaan menetapkan sesi persekolahan di Semenanjung bermula 8 pagi.
Katanya, langkah itu bagi memastikan guru, ibu bapa dan anak mempunyai masa mencukupi bagi mengatur jadual perjalanan masing-masing.