
Ketuanya, Megat Zulkarnain Omardin, berkata setakat ini tiada pembahagian kerusi dibuat antara dua parti itu termasuk di Sungai Kandis yang dilaporkan diintai Tengku Zafrul Aziz untuk bertanding.
“Saya hormati pandangan masing-masing tetapi selagi kita belum berada di meja rundingan, saya ingat apa pun spekulasi itu bersifat pandangan peribadi dan pandangan yang sebelah pihak.
“Soal calon belum diputuskan lagi dan siapa akan bertanding termasuk diri saya… kita belum putuskan lagi,” katanya kepada FMT.
Semalam, PKR Selangor tidak berhasrat melepaskan kerusi DUN dimenangi kepada “rakan baharunya”, Barisan Nasional (BN) termasuk Sungai Kandis yang dilaporkan diintai Tengku Zafrul.
Pengarah Pilihan Rayanya, Yahya Sahri, berkata pendirian itu sudah dinyatakan dalam perbincangan tidak rasmi antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN berhubung soal pengagihan kerusi di Selangor bagi menghadapi PRN yang dijangka diadakan sebelum Jun.
Menurutnya, tiada pertikaian di 40 kerusi DUN dimenangi PH dan lima kerusi oleh BN pada PRU14, namun fokus perbincangan agihan kerusi ketika ini tertumpu kepada kerusi disandang Perikatan Nasional (PN).
Terlalu awal bincang calon
Dalam pada itu, Megat berkata terlalu awal untuk dibincangkan soal siapa calon akan bertanding buat masa ini.
Beliau berkata, jika sudah ada rundingan secara rasmi, Umno Selangor pasti akan menghormati keputusan diputuskan nanti.
Katanya, setakat ini BN Selangor selesai menjelajah ke 22 bahagian di negeri itu bagi menjelaskan keberadaan partinya dalam kerajaan perpaduan.
Megat berkata, setakat ini pemimpin lama, termasuk veteran Umno memberi sokongan padu dan membantunya walaupun bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar dipecat baru-baru ini.
Spekulasi Tengku Zafrul bakal bertanding pada PRN Selangor bertiup kencang susulan penyertaannya dalam Umno Bahagian Kota Raja yang di bawahnya terdapat tiga DUN iaitu Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa.
Ketika ini, Sungai Kandis disandang Exco Selangor Zawawi Ahmad Mughni manakala Sentosa pula disandang Pegawai Khas Perhubungan Menteri Besar Selangor G Gunarajah yang juga ketua PKR Kota Raja.
Kota Kemuning pula diwakili seorang lagi Exco Selangor V Ganabatirau yang juga Ahli Parlimen Klang.
Pada PRU15, Tengku Zafrul bertanding di Parlimen Kuala Selangor dan tewas kepada calon PH Dzulkefly Ahmad.
Bagaimanapun beliau dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam pentadbiran Anwar Ibrahim.