
Pada Ahad, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata kerajaan bergelut mengekalkan sistem kesihatan percuma, susulan peningkatan kos dan populasi menua.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai cabaran serupa seperti Sistem Kesihatan Kebangsaan (NHS), United Kingdom, kerana kedua-dua negara menyediakan perkhidmatan percuma dengan menekankan penjagaan berkualiti dan saksama.
FMT melihat lebih dekat bagaimana sistem kesihatan awam berfungsi, sama ada mampan dan apa pula reformasi boleh dilaksanakan bagi menambah baik.
Sistem penjagaan kesihatan awam semasa
Malaysia mewarisi sistem kesihatannya daripada British selepas merdeka pada 1957, namun perkhidmatan itu tertumpu di kawasan bandar. Liputan perkhidmatan penjagaan kesihatan kemudian diperluas ke kawasan luar bandar.
Perkhidmatan terbabit disusun atur di bawah struktur perkhidmatan awam dan ditadbir secara berpusat Kementerian Kesihatan di negeri, selain daerah.
Liputan perkhidmatan bermula daripada pencegahan dan penjagaan premier sehingga tertiari di klinik awam, hospital dan fasiliti kesihatan.
Sistem penjagaan kesihatan awam negara memberi liputan hampir 65% populasi dibiayai pendapatan umum dan cukai dikutip kerajaan.
Jadi, rakyat Malaysia hanya membayar yuran nominal RM1 bagi konsultasi am pesakit dan RM5 bagi konsultasi pakar. Pesakit membayar caj tambahan bagi preskripsi perubatan.
Kebimbangan berhubung kemampanan
Ketua Pegawai Eksekutif Dasar Kesihatan dan Sosial Pusat Galen, Azrul Khalid, berkata sistem penjagaan kesihatan awam dijangka dibelenggu tekanan pelbagai isu.
“Jumlah rakyat menderita akibat penyakit tidak berjangkit semakin melambung, seperti penyakit kardiovaskular dan penyakit pernafasan menjurus peningkatan permintaan bagi rawatan dan penjagaan lebih cekap.
“Beban kes besar memerlukan kemasukan ke hospital dan penjagaan rumit, disusuli jangka umur lebih panjang ditambah pula lebih ramai profesional meninggalkan khidmat kesihatan awam menjadikan sistem dalam tekanan,” katanya kepada FMT.
Katanya, semua itu meletakkan rakyat dalam risiko tidak mendapat penjagaan diperlukan.
Azrul berkata, pertambahan pesakit, peningkatan penyakit kompleks dan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan kerana populasi menua, menjadikan pembiayaan kepada penjagaan kesihatan awam ini tidak mampan.
Tiada jalan pintas mereformasikan sistem
Sambil menggesa reformasi kritikal dilaksanakan dalam membiayai penjagaan kesihatan, Azrul mencadangkan skim insurans kesihatan sosial, menyerupai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disumbang majoriti pencarum.
“Insurans kesihatan sosial bukannya seperti insurans swasta kerana tiada jumlah tertentu liputan bagi penyakit kritikal dan kemasukan ke hospital,” katanya. “Pesakit tidak membayar apa-apa ketika mendapat rawatan kerana mereka sudah dilindungi skim itu.
Dalam kenyataan pada Ahad, Zaliha berkata Kementerian Kesihatan komited melaksanakan perubahan dalam sistem penjagaan kesihatan negara menerusi perbincangan dengan pakar kesihatan Malaysia sedang berkhidmat di United Kingdom, dalam forum dihadirinya di sana.
Kementerian itu berkata, forum membincangkan kerjasama antara United Kingdom dan pengkaji klinikal dari Malaysia cukup bermakna kepada negara memandangkan deraf kertas putih kesihatan sedang berjalan.
Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan pendekatan dicadangkan dalam kertas putih, selain kemungkinan sistem penjagaan kesihatan mengalami perubahan drastik demi memastikan kemampanannya.