

Ahli ekonomi Barjoyai Bardai mencadangkan bantuan kerajaan perlu diubah daripada pemberian kebajikan semata-mata kepada sokongan yang berkait terus dengan produktiviti dan penciptaan nilai ekonomi.
Katanya, bantuan tanpa syarat hanya akan mengulangi kegagalan lama apabila dana habis tetapi tidak menghasilkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang termasuk hanya menjadi alat politik.
Ahli akademik dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia itu berkata, sebaliknya kerajaan perlu menggunakan pendekatan lebih mampan seperti geran padanan, selain menyalurkan dana secara berperingkat mengikut pencapaian sasaran tertentu.
“Bantuan juga perlu dipantau melalui sistem digital dan disertai mentor industri serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas,” katanya yang menekankan kualiti pengurusan dana.
“Paling penting ubah pemikiran bukan duit percuma tetapi amanah ekonomi.”
Ahad lalu, tokoh korporat Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail berkata, masyarakat Melayu tidak boleh lagi sekadar menunggu pemberian atau bantuan untuk mengatasi kemelut ekonomi mereka, sebaliknya perlu bermuhasabah tentang aspek yang boleh diperbaiki.
Bekas ketua pegawai eksekutif Proton dan pengarah eksekutif Perodua itu berkata, segelintir masyarakat Melayu masih mengekalkan ‘mentaliti menunggu bantuan’, satu sikap yang mesti digantikan dengan inisiatif sendiri.
Bercakap sebagai pengerusi Teras Ekonomi Musyawarah Nasional pada sesi meja bulat Musyawarah Nasional, beliau berkata orang Melayu perlu berani dan bersaing secara adil.

Awang Azman Pawi pula berkata, kritikan terhadap budaya ‘bagi dana tetapi tiada hasil’ wajar diberi perhatian serius namun tidak adil menyamakan semua bentuk bantuan kepada Melayu dengan budaya malas atau terlalu bergantung subsidi.
Penganalisis dari Universiti Malaya itu berkata, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) berjaya membuka ruang pendidikan, pekerjaan profesional, pemilikan aset dan mobiliti sosial kepada masyarakat Melayu.
“Yang perlu dihapuskan ialah bantuan yang dipolitikkan, bukan dasar membantu rakyat.
“Kerajaan perlu beralih daripada model ‘bantuan kerana hubungan’ kepada berdasarkan prestasi, keperluan dan impak,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, bantuan kerajaan masih diperlukan terutama ketika rakyat termasuk peniaga berdepan tekanan kos tinggi.
“Tetapi bantuan itu sepatutnya menjadi katalis untuk rakyat meneruskan kelangsungan hidup dan bekerja lebih kuat,” katanya.