
Ketiadaan organ pembiakan itu menyebabkan mereka tidak dapat mengandung, namun keadaan berkenaan bakal berubah jika cadangan pemindahan rahim daripada golongan ibu yang tidak lagi digunakan diterima pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Menurut pengasas MRKH Malaysia, Nur Syazwani Abdul Rahim, prosedurnya bukan mudah, sama seperti pemindahan organ badan yang lain.
“Kita bukan sekadar memindahkan organ ke satu tubuh yang lain, malah organ itu nanti akan mengandungi seorang manusia (bayi) yang lain.
“Banyak syarat ketat contohnya individu terbabit tidak terlalu tua, umur awal atau pertengahan 20-an, jantung, darah, otak dan mental kena sihat selain daya tahan badan kuat. Ada pelbagai lagi kriteria sebelum boleh lakukan pemindahan rahim,” katanya kepada FMT.
Nur Syazwani atau lebih dikenali sebagai Wani Ardy mengakui bukan mudah untuk memuaskan hati pihak berkuasa seperti Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi membenarkan pembedahan pemindahan rahim berkenaan.
Menurutnya, pada masa sama pihaknya juga perlu berbincang dengan pelbagai kementerian dan swasta kerana ia membabitkan dana untuk membawa pakar luar bagi melaksanakan pembedahan dan mengajar doktor tempatan.
“Antara hal merisaukan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (pula) ada golongan lain selain wanita MRKH mungkin menggunakan khidmat rawatan pembedahan pemindahan rahim ini contohnya LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender),” katanya.

Sebagai rekod, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada Oktober 2014 memutuskan hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap darurat.
Namun, timbul sinar harapan selepas jawatankuasa itu bersetuju bahawa “ia boleh diubah mengikut keperluan semasa” susulan pembentangan fakta berhubung sindrom berkenaan oleh MRKH dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pemindahan rahim berjaya di luar negara
Menurut Wani, pembedahan pemindahan rahim berjaya membantu wanita MRKH memiliki zuriat sendiri di Amerika Syarikat, India, Turki dan Sweden menerusi kaedah persenyawaan luar rahim (IVF).
Katanya, rahim wanita warga emas yang sudah kecut sebenarnya boleh dirawat dan menjadi subur semula untuk menjalani proses IVF selepas dipindahkan ke tubuh badan wanita menghidap sindrom MRKH.

Namun katanya, proses itu mengambil masa panjang dan tidak boleh memberi hasil sekelip mata kerana rahim berkenaan perlu sihat dan berkembang terlebih dahulu.
“Perjalanannya panjang namun kita telah memulakan prosesnya untuk adik-adik MRKH pada masa akan datang,” kata Wani yang juga pakar rakan bimbingan untuk hal seksual dan intimasi.
Wani menegaskan sindrom MRKH bukan penyakit dan tidak boleh dirawat dengan hanya memakan ubat sebaliknya keadaan kesihatan di mana seseorang dilahirkan tanpa rahim serta saluran vagina.
Antara ciri-ciri sindrom MRKH adalah lahir tanpa rahim, tidak mengeluarkan darah haid seumur hidup dan tiada saluran vagina atau saluran vagina yang pendek.
Mereka juga terdedah dengan komplikasi kesihatan berkaitan jantung, tulang, pendengaran serta buah pinggang.