
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Fared Khalid berkata penyelidikan awal mendapati terdapat kenyataan individu terbabit yang jelas menunjukkan unsur penyelewengan akidah.
“Pernyataan itu nampak macam ada menyimpang dan sesat. Laporan penyelidikan itu nanti akan dihantar kepada Jabatan Mufti Johor untuk urusan selanjutnya, jadi ini akan mengambil sedikit masa
“Bila dia berulang kali (muat naik hantaran terbaharu), nampaknya lebih ligat termasuk mendakwa dirinya adalah roh kudus dan putera Mohamad anak Aminah, itu dah jauh menyongsang,” katanya lapor Sinar Harian.
Tambahnya, fahaman tersebut mula dikesan sejak 2018 namun kembali tular selepas beberapa video dimuat naik di media sosial pada 26 Mac lalu.
Menurut Fared, setakat ini pengaruh wanita tersebut masih terkawal dan tidak merebak luas kepada masyarakat umum.
“Setakat ini, pengikutnya hanya terdiri daripada anak dan abang kandungnya sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Fared berkata JAINJ bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau aktiviti suspek.
Katanya, semua kandungan video berkaitan ajaran itu telah diturunkan dan individu terbabit kini berada dalam perhatian pihak berkuasa.
“Kita tidak akan tergesa-gesa. Setiap kes melibatkan fahaman baharu perlu diteliti secara mendalam dari sudut hukum sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” tambahnya.