KPDN keluar 60 notis siasat harga sayur naik

KPDN keluar 60 notis siasat harga sayur naik

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Azman Adam berkata terdapat beberapa faktor menyebabkan kenaikan harga termasuk cuaca dan kenaikan kos input seperti baja.

KPDN tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga sayur-sayuran secara keterlaluan, kata Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam.
PETALING JAYA:
Sebanyak 60 notis dikeluarkan terhadap 296 jenis barangan yang diperiksa bagi tujuan analisis dan siasatan berhubung kenaikan harga sayur-sayuran melalui Ops Pasar.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam, berkata pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa faktor yang mendorong kenaikan harga sayur-sayuran iaitu musim monsun, kenaikan kos input seperti baja, benih dan racun yang diimport, kadar pertukaran mata wang, serta kos perkapalan.

Katanya, kementerian memandang serius keluhan orang ramai seperti dilaporkan media.

“Kementerian sentiasa prihatin dan berusaha menangani isu-isu ini melalui tindakan-tindakan proaktif dan penguatkuasaan,” katanya lapor Bernama.

Ops Pasar merupakan pemeriksaan dan pemantauan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan yang difokuskan bagi menangani kenaikan harga sayuran di pasaran.

Seramai 2,200 penguatkuasa digerakkan setiap hari bagi melaksanakan pemeriksaan harga di premis seluruh negara.

Menurutnya, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan.

“Jika ada pihak yang didapati melanggar perundangan berkaitan akan dikenakan tindakan yang tegas,” katanya.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800; emel [email protected] dan Ez ADU KPDN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.