
Fuziah berkata antara faktor yang menyebabkan kenaikkan harga beberapa sayur sebelum ini adalah peningkatan kos pengeluaran, keadaan cuaca yang menjejaskan hasil tanaman serta perkembangan rantaian bekalan dan logistik di peringkat serantau.
Katanya, faktor itu dikesan melalui pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan KPDN Pahang melibatkan pengeluar, pemborong serta peruncit dan kenaikan harga beberapa jenis sayur itu berlaku sepanjang April hingga Mei lalu.
“Namun begitu, berdasarkan pemantauan terkini, bekalan semakin menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan harga bagi beberapa komoditi turut mula mencatatkan trend penurunan apabila situasi bekalan kembali lebih stabil,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas laporan kenaikan ketara harga beberapa jenis sayur di peringkat ladang seperti didedahkan Persatuan Pekebun Sayur Melayu Cameron Highlands.
Ahad lalu, pengerusinya Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata harga kubis meningkat daripada 60 sen kepada RM1.50 sekilogram, tomato daripada RM1 kepada RM3.50 sekilogram, manakala cili naik daripada RM4 kepada RM5 sekilogram.
Menurut beliau, kenaikan itu berpunca daripada peningkatan kos input pertanian termasuk harga baja dan racun perosak yang bergantung kepada pasaran luar negara.
Dalam pada itu, Fuziah berkata kerajaan memahami cabaran dihadapi pekebun tempatan khususnya berkaitan peningkatan kos input pertanian, namun pada masa sama turut mengambil kira kesan perubahan harga makanan terhadap rakyat.
Katanya, kerajaan komited memastikan keseimbangan antara kepentingan pengguna dan kelangsungan pengeluar tempatan terus dipelihara.
“Kerajaan memahami isu harga makanan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Pada masa yang sama, sektor pertanian tempatan juga perlu terus diperkukuh agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kos dan perubahan pasaran,” katanya.
Beliau berkata KPDN Pahang turut melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berkala di Cameron Highlands bagi memastikan situasi harga dan bekalan sentiasa terkawal.
Katanya, pemantauan tambahan akan dilakukan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan pasaran.