Bunuh kerani kolej, hukuman mati bekas pembantu makmal kekal

Bunuh kerani kolej, hukuman mati bekas pembantu makmal kekal

Mahkamah memutuskan rayuan Abdul ‘Azhim Mohamad untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tidak mempunyai merit.

Tertuduh Abdul ‘Azhim Mohamad dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Zaimah Mahmod pada 11 Julai 2018. (Gambar Fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati ke atas bekas pembantu makmal Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad di Telok Datok, Banting atas pertuduhan membunuh ketua kerani kolej tersebut dengan menikam menggunakan pisau dan mencekik mangsa, pada 2018.

Sidang tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said sebulat suara selepas mendapati rayuan Abdul ‘Azhim Mohamad, 33, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tidak mempunyai merit.

“Setelah mendengar dan meneliti keseluruhan hujahan perayu (Abdul ‘Azhim) serta responden (pendakwaan), kami bersetuju rayuan tersebut tiada merit. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama Supang Lian dan Ahmad Nasfy Yasin.

Pada 22 Nov 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas penjawat awam itu selepas didapati bersalah membunuh Zaimah Mahmod berumur 57 tahun (ketika itu) di kolej berkenaan pada 1.30 tengah hari, 11 Julai 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, seorang rakan sekerja perayu masuk ke dalam bilik stor di kolej tersebut dan ternampak perayu sedang duduk di atas kotak sambil menggenggam tangan serta membuat pengakuan dia membunuh wanita berkenaan.

Perayu meminta telefon bimbit daripada rakannya itu kerana mahu menelefon ibu bapa, polis, serta ambulans untuk membuat pengakuan tersebut.

Apabila ditanya seorang cikgu di kolej berkenaan mengapa perayu bertindak sedemikian, dia menyatakan bahawa tindakannya itu kerana dendam terhadap mangsa berkaitan hal peribadi.

Sebelum kejadian, perayu dilantik sebagai pembantu makmal di kolej berkenaan ditempatkan di pejabat pentadbiran dan bahagian perpustakaan untuk melakukan kerja kerani dan berhasrat untuk menukar sekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala peguam Muhammad Amirrul Jamaluddin mewakili Abdul ‘Azhim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.