Isu seludup produk tembakau, alkohol antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu seludup produk tembakau, alkohol antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, antara yang akan bertanya soalan termasuk Wan Saifulruddin Wan Jan, Fong Kui Lun, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Lim Guan Eng.

Selesai sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, menteri-menteri akan menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja mengikut kementerian masing-masing. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR:
Isu mengenai penyeludupan produk tembakau dan rokok, serta produk beralkohol antara yang dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, soalan berkenaan akan ditanya oleh Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang antara lain meminta anggaran kerugian hasil duti eksais, cukai jualan dan duti import akibat penyeludupan itu.

Sementara itu, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta menteri pembangunan wanita, keluarga dan maasyarakat menyatakan tindakan tegas berhubung kes penderaan kanak-kanak yang semakin serius di pusat jagaan kanak-kanak seluruh negara.

Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) pula meminta menteri pertanian dan keterjaminan makanan menyatakan status terkini program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan sebelum ini.

Turut bertanyakan soalan ialah Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta menteri kewangan menyatakan sebab utama pengukuhan nilai mata wang ringgit selepas kerajaan perpaduan ditubuhkan dengan mata wang asing seperti dolar Amerika Syarikat, dolar Singapura dan rupiah, serta kesan ke atas ekonomi dan inflasi negara.

Selesai sesi soal jawab, menteri-menteri akan menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja mengikut kementerian masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.