Apa ditawarkan dalam belanjawan baharu RM388.1 bilion

Apa ditawarkan dalam belanjawan baharu RM388.1 bilion

Belanjawan 2023 baharu memperuntukkan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion untuk pembangunan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM388.1 bilion, dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan.

Belanjawan yang disemak semula ini RM15.8 bilion lebih tinggi daripada bajet RM372.3 bilion yang dibentangkan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Berikut butiran Belanjawan 2023:

Ekonomi

  • Agensi kerajaan akan menyediakan kemudahan pinjaman RM40 bilion untuk usahawan PKMS.
  • Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan akan menyediakan pinjaman RM20 bilion kepada PKS dalam sektor nilai tinggi.
  • Bank Negara akan menawarkan hampir RM10 bilion pinjaman kepada PKS.
  • Kemudahan pinjaman RM1.7 bilion di bawah Bank Negara, BSN dan Tekun.
  • RM176 juta untuk menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan di bawah Mara, DBKL, PUNB dan UDA.
  • RM50 juta disediakan bagi membina dan menaik taraf 3,000 gerai serta kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.
  • Kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Ini termasuk menstruktur semula insentif pelaburan.
  • Bank Negara akan menyediakan dana pinjaman sehingga RM2 bilion bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu PKS menerap amalan rendah karbon.
  • Kerajaan akan memberi insentif kepada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan usaha pelaburan dipercepatkan.
  • Kerajaan akan meningkatkan penyediaan pembiayaan Islam berteraskan ekuiti dengan konsep perkongsian risiko seperti Mudarabah dan Musyarakah.
  • Tun Razak Exchange akan menjadi hab kewangan antarabangsa negara.
  • Bank Pembangunan Malaysia Berhad akan menyediakan sehingga RM6 bilion pembiayaan strategik bagi menggalakkan automasi.
  • RM100 juta untuk menyokong aktiviti automasi dan pendigitalan perniagaan dalam kalangan PKS serta penjaja kecil.
  • RM1 bilion bagi membantu PMKS mengautomasi proses perniagaan dan mendigitalkan operasi.
  • Khazanah dan KWSP akan melabur RM1.5 bilion dalam syarikat pemula tempatan.
  • RM40 juta untuk Malaysia Coinvestment Fund (MyCIF).

Pembangunan

  • RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan.
  • Kerajaan akan menggunakan khidmat jurutera daerah untuk menyegerakan penurapan jalan persekutuan.
  • RM525 juta untuk menambah baik jaringan lebuh raya di Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway dan menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara.
  • RM480 juta untuk membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata di Cameron Highlands.
  • RM50 juta untuk memasang lampu jalan di kawasan berkemalangan tinggi.

Subsidi

  • RM64 bilion diperuntukkan untuk subsidi, bantuan serta insentif.
  • RM8 bilion untuk sumbangan tunai di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Ini akan memanfaatkan 8.7 juta orang. Keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak menerima sumbangan sehingga RM3,100.
  • RM1.6 bilion untuk subsidi bagi penanam padi.
    RM228 juta diperuntukkan untuk pesawah padi yang akan menerima sumbangan tunai RM600.
  • Dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun menerima bantuan kredit e-tunai Belia Rahmah berjumlah RM200. Ia membabitkan RM400 juta peruntukan.

Cukai

  • Kadar cukai pendapatan individu dikurangkan 2% bagi mereka yang berpendapatan RM35,000 hingga RM100,000. Ini akan memanfaatkan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai.
  • Kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan antara RM100,000 hingga RM1 juta setahun dinaikkan antara 0.5% hingga 2%. Ia dijangka menjejaskan kurang daripada 150,000 orang.
  • Kerajaan bersetuju mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17% kepada 15%. Pengurangan ini dapat memberi penjimatan sehingga RM3,000 bagi setiap 150,000 pembayar cukai PMKS.
  • Pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000.
  • Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela. Melalui program ini, pengampunan ke atas penalti 100% akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Dis 2024.
  • Duti eksais akan diperkenalkan ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan rokok elektronik dan vape.
  • Kerajaan akan mengkaji pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat pada 2024.
  • Kerajaan akan memperkenalkan cukai barangan mewah tahun ini.
  • Kerajaan akan mengekalkan subsidi elektrik bagi semua pengguna domestik dan PKS.
  • Melanjutkan insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan sehingga 31 Dis 2025 dalam bidang aeroangkasa.
  • Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15% kepada C-Suite sehingga 2024.
  • Kerajaan bercadang melanjutkan insentif Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) hingga 31 Dis 2025.

Pendidikan

  • Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan tertinggi berjumlah RM55.2 bilion.
  • RM1.2 bilion untuk membaiki 400 klinik dan 380 sekolah daif.
  • RM777 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan membabitkan 700,000 pelajar.
  • RM108 juta untuk Program Makanan Prasekolah yang akan memanfaatkan 240,000 pelajar.
  • RM560 juta untuk membina tujuh sekolah baharu.
  • RM20 juta untuk program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.
  • Kerajaan akan membekalkan 50,000 komputer riba bagi sekolah.

Pendidikan tinggi

  • RM15.3 bilion untuk Kementerian Pendidikan Tinggi.
  • RM436 juta untuk membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang di universiti awam.
  • RM35 juta untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi.
  • RM428 juta untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan.
  • Diskaun 20% untuk bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan mulai 1 Mac.
  • Peminjam PTPTN berpendapatan kurang RM1,800 diberikan moratorium pinjaman selama enam bulan.

Kesihatan

  • RM36.3 bilion untuk Kementerian Kesihatan, ini termasuk hampir RM3 bilion untuk pelantikan lebih 1,500 pekerja kesihatan tetap dan kontrak.
  • Separuh daripada hasil duti eksais dikutip di bawah Dasar Generasi Penamat (GEG) akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
  • RM700 juta untuk menaik taraf Hospital Melaka bagi mengurangkan kesesakan.
  • RM120 juta untuk Skim Perubatan Madani bagi membantu golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan.
  • Kerajaan akan menaif taraf 26 hospital.
  • RM80 juta bagi Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40).

Keselamatan

  • RM18.5 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri.
  • Sebuah unit khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak.
  • Hampir RM1 bilion untuk memperkasa keselamatan dalam negeri, termasuk pembelian 2,100 unit kamera badan bagi anggota polis.
  • Kerajaan akan membina 42 pos kawalan keselamatan baharu di sempadan seluruh negara.

Pertahanan

  • RM17.7 bilion bagi Kementerian Pertahanan. Ini termasuk RM4.1 bilion untuk pembelian aset ketenteraan baharu.
  • Lebih RM500 juta untuk menyelenggara rumah keluarga Angkatan Tentera.
  • Kerajaan akan membina lebih 7,000 rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah di Kuala Lumpur.
  • Putrajaya akan melaksanakan program kerjaya kedua bagi veteran tentera. Sehingga 5,000 veteran berpencen akan ditawarkan peluang pekerjaan di GLC.

Alam sekitar

  • RM50 juta untuk menambah bilangan renjer yang mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang.
  • RM38 juta bagi memelihara hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutannya.
  • Peruntukan untuk kerajaan negeri bagi memulihara hutan akan dinaikkan kepada RM150 juta setahun berbanding RM70 juta.

Kebajikan sosial

  • Kerajaan akan menyumbang RM500 dalam akaun 1 KWSP ahli berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang daripada RM10,000. Ini akan memanfaatkan hampir dua juta pencarum membabitkan peruntukan hampir RM1 bilion.
  • Kerajaan akan melaksanakan pemutihan senarai penerima bantuan bulanan kerajaan.
  • Kerajaan akan memperuntukkan sebahagian “wang ehsan” untuk Kelantan dan Terengganu bagi membantu golongan miskin.
  • RM750 juta untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi memperkasa golongan miskin. IPR diletakkan bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi. Program ini dijangka dapat membantu mereka meraih pendapatan bulanan sehingga RM2,500 selama 24 bulan.
  • RM100 juta untuk Jualan Rahmah di semua kawasan Parlimen. Jualan itu akan menyaksikan barangan keperluan asas dijual pada harga sehingga 30% lebih murah daripada pasaran.
  • RM225 juta untuk memperluaskan pengedaran barangan keperluan asas bagi golongan miskin di 25 kawasan baharu.
  • Mereka yang bekerja sendiri perlu mencarum dalam Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso. Kerajaan akan menyediakan RM100 juta untuk membantu golongan itu mencarum skim terbabit.
  • Saiz dana Amanah Saham Malaysia akan meningkat kepada RM5 bilion.

Peluang pekerjaan dan sokongan komuniti

  • GLC akan menawarkan 35,000 peluang pekerjaan kepada belia, graduan TVET, veteran dan kumpulan rentan lain.
  • GLC dan GLIC akan menyumbang sehingga RM250 juta bagi membantu golongan miskin.
  • Bagi kepentingan dan asimilasi semula ke dalam masyarakat, banduan akan diberi latihan melalui program “Skill for Inmate”.
  • Majikan yang mengambil banduan, termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney dan institusi lain, layak mendapat potongan cukai tambahan.
  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Perkeso akan memberi insentif RM45 juta kepada majikan untuk mengambil 17,000 graduan TVET.
  • Perkeso menyediakan insentif sehingga tiga bulan kepada syarikat yang mengambil orang kurang upaya, bekas banduan, gelandangan dan penganggur.
  • RM50 juta untuk melatih lebih 8,000 pelatih di kilang di bawah Skim Latihan Dual Nasional.
  • RM40 juta untuk melatih 30,000 pekerja gig. Kerajaan akan membiayai program peningkatan kemahiran untuk pekerja gig.
  • RM50 juta untuk program perpaduan.
  • RM50 juta untuk penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.
  • RM290 juta untuk geran bersamaan 80% nilai gaji bagi menggalakkan 130,000 wanita kembali bekerja selepas bersalin.
  • Insentif cukai untuk majikan yang menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat dilanjutkan.

Perkhidmatan awam

  • Bantuan khas Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk pekerja kontrak.
  • Bantuan khas Aidilfitri RM350 untuk pesara kerajaan.
  • Penjawat awam akan mendapat subsidi yuran taska sebanyak RM180 sebulan. Isi rumah berpendapatan RM7,000 dan ke bawah layak menerima subsidi ini.

Pengangkutan

  • Kerajaan akan mengkaji semula perincian projek MRT3 untuk mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya RM45 bilion.
  • Kerajaan akan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang untuk menarik pelaburan. Ini lebih menjimatkan berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim dianggarkan bernilai RM7 bilion.
  • Kerajaan akan menyokong pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis.
  • Kerajaan juga akan mendukung cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey oleh pihak swasta.
  • Kerajaan bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2, teksi, bas serta e-panggilan.
  • Meningkatkan peruntukan untuk Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) kepada RM5.2 bilion.
  • Kerajaan akan meneruskan pas bulanan pengangkutan awam My50 bagi manfaat 180,000 pengguna.
  • RM150 juta untuk memperluaskan Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) ke bandar Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.

Komoditi

  • RM350 juta untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah.
  • RM256 juta untuk menaikkan sumbangan musim tengkujuh bagi 320,000 pekebun kecil. Bantuan ini meningkat daripada RM600 kepada RM800.
  • RM50 juta untuk geran padanan bagi menggalakkan automasi dalam sektor perladangan.
  • RM80 juta untuk menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Antiminyak Sawit.

Pertanian

  • Bernas akan menyumbang 30% keuntungan bersih daripada import beras kepada pesawah padi.
  • Bank Negara menyediakan dana sehingga RM1 bilion di bawah Skim Pembiayaan Agrofood untuk membantu pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran.
  • Kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta berasaskan pertanian berskala besar melalui penyediaan insentif, tanah, pembiayaan dan geran teknologi.
  • Felda, Felcra, Risda dan agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memperuntukkan sehingga 800 ekar tanah untuk projek tanaman makanan.

Perumahan

  • Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sedia menjamin sehingga RM5 bilion nilai pinjaman untuk 20,000 peminjam layak.
  • RM50 juta bagi memastikan keselamatan kemudahan untuk program perumahan rakyat (PPR).
  • Internet percuma di 56 PPR seluruh negara.

Pelancongan

  • Kerajaan akan memperuntukkan RM250 juta bagi mempromosi pelancongan.

Budaya dan seni

  • RM50 juta diperuntukkan kepada Melaka dan Pulau Pinang untuk kekal memelihara tapak warisan dunia diiktiraf Unesco.
  • Dana RM102 juta untuk mempromosi kandungan digital tempatan.
  • Kerajaan mencadangkan potongan cukai untuk sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Finas.
  • RM25 juta untuk menyokong kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.

Ketersambungan digital

  • RM725 juta untuk mempercepat pelaksanaan projek Jendela dalam usaha menyediakan kemudahan jaringan internet.

Belia dan sukan

  • RM324 juta untuk menambah baik program latihan dan kemudahan sukan.
  • Geran padanan RM50 juta untuk mendorong sektor swasta menaja program sukan.
  • Kerajaan mencadangkan potongan cukai kepada majikan yang mengambil bekas atlet negara.

Sabah dan Sarawak

  • Sabah dan Sarawak akan mendapat peruntukan pembangunan sebanyak RM6.5 bilion serta RM5.6 bilion.
  • RM2.5 bilion untuk melaksanakan projek prasarana di Sabah dan Sarawak membabitkan projek jalan, lampu, bekalan air dan elektrik.
  • RM1 bilion untuk membangunkan bandar sempadan, termasuk Kalabakan di Sabah dan Ba’kelalan di Sarawak.
  • RM209 juta subsidi pengangkutan udara bagi rakyat pedalaman Sabah dan Sarawak.
  • RM30 juta untuk meningkatkan jumlah klinik, bank dan mahkamah bergerak di Sabah serta Sarawak.
  • Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta Sarawak-Sabah Link Road.

Pengurusan bencana

  • RM150 juta untuk Nadma sebagai persiapan menghadapi sebarang bencana alam.
  • RM50 juta bagi angkatan tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Rela menyediakan aset bagi menghadapi bencana alam.
  • Elaun khas RM100 sehari bagi semua ahli pasukan mencari dan menyelamat negara yang menyertai misi di Turki serta Syria.
  • Enam projek tebatan banjir akan ditender semula selewat-lewatnya Jun ini. Anwar Ibrahim memberi contoh projek tebatan banjir. Katanya, kerajaan boleh jimat sehingga RM3 bilion untuk projek yang ditender semula itu secara telus.

Hal ehwal Islam

  • RM1.5 bilion untuk hal ehwal Islam.
  • Sektor swasta akan mewujudkan Wakaf Madani membabitkan aset lebih RM1 bilion.
  • Elaun 35,000 guru Kafa dinaikkan sebanyak RM100 kepada RM1,100.

Tadbir urus baik

  • Menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang akan dipengerusikan ketua setiausaha negara.
  • Pakej saraan ketua eksekutif dan pengurusan tertinggi GLC serta badan berkanun akan disemak semula.
  • Tabung Haji, Felda dan Felcra perlu kembali mengutamakan fungsi asal penubuhan mereka.
  • Kerajaan bercadang menggabungkan Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera dan Yayasan Ekuiti Nasional dalam tempoh terdekat.
  • Pelaksanaan perolehan kerajaan mesti telus dan terbuka berlandaskan tatakelola baik. Projek tebatan banjir berjumlah RM15 bilion dan Jana Wibawa bernilai RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini telah dibatalkan.
  • Projek berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender bagi menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.
  • DNB perlu diuruskan dengan lebih telus dan terangkum bagi mencapai penyertaan penuh penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Undang-undang

  • Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal di Parlimen tahun ini bagi memastikan pengurusan ekonomi lebih baik pada masa depan.
  • Kerajaan bercadang membentangkan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tahun ini.
  • Kerajaan bercadang membentangkan Akta Perolehan Kerajaan.
  • Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik.

Lain-lain

  • Agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih kepada rakyat memerlukan.
  • Kes kecil dengan hutang kurang daripada RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini. Seramai 130,000 orang dijangka dilepaskan daripada status muflis.
  • Bank Negara akan menguatkuasakan dasar “kill switch” kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna membekukan akaun mereka, termasuk kad ATM daripada digunakan jika terdapat aktiviti mencurigakan.
  • RM10 juta untuk menyokong National Scam Response Centre.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.