
Ketua Polis Hulu Selangor Suffian Abdullah, berkata penahanan dua remaja berusia 18 tahun itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun, 10.53 pagi semalam.
“Video tular di TikTok dan Facebook itu memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan SPM mata pelajaran Sejarah.
“Pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura,” katanya dalam kenyataan.
Suffian berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Selangor menyerbu rumah suspek dan menahan mereka sebaik menerima laporan.
Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dalam serbuan berkenaan.
“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran video terbabit yang menimbulkan kegusaran dan mengelirukan masyarakat sehingga tercetusnya perbalahan.