
Shahidan ketika mengakhiri perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 berkata: “Saya kesal dengan Hulu Langat yang perangai lebih teruk daripada kera di hutan,” katanya merujuk Sany yang kerap mengganggu perbahasannya.
Ahli Parlimen Amanah itu yang tidak berpuas hati kemudiannya meminta Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengarahkan Shahidan menarik balik kenyataannya itu.
“Sepatutnya orang lama bagi contoh, bagi contoh (yang baik), minta tarik balik perkataan itu, sepatutnya Arau bagi contoh kepada kami yang baharu ini,” katanya.
Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) tampil mempertahankan Shahidan dengan berkata, sikap Sany yang sebenarnya menimbulkan masalah.
Kedua-duanya terus berbalah dengan Misbahul berulang kali meminta Sany mengubah perangainya.
Melihatkan keadaan tidak terkawal, Johari masuk campur dan bertanyakan Shahidan adakah beliau menggelar Sany “kera”.
“Tidak. Saya hanya cakap jangan berperangai seperti kera di hutan. Ini dibenarkan (di Parlimen),” kata Shahidan.
Johari bagaimanapun tidak mengambil tindakan lanjut dan sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) membahaskan belanjawan itu.