Kerajaan kaji lantik perunding sendiri penilaian impak alam sekitar

Kerajaan kaji lantik perunding sendiri penilaian impak alam sekitar

Cadangan itu satu daripada dua pilihan mungkin dipertimbangkan kerajaan untuk mengelak potensi penyalahgunaan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan perunding EIA berdaftar bawah JAS adalah firma profesional tertakluk kepada tahap disiplin dan standard tinggi.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan mengkaji kemungkinan memberikan kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) melantik perundingnya sendiri bagi menjalankan penilaian impak alam sekitar (EIA) ke atas projek pembangunan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata bagaimanapun yuran untuk membayar kepada perunding itu tetap ditanggung pemaju.

Beliau berkata, cadangan itu satu daripada dua pilihan mungkin dipertimbangkan kerajaan untuk mengelak potensi penyalahgunaan.

Katanya, ini kerana ketika ini pemaju boleh melantik jururunding sendiri yang berdaftar dengan JAS dan ia dibimbangi berlaku “consultant shopping”.

“Mereka (pemaju) akan pilih jururunding yang akan bagi laporan EIA yang berpihak kepada dia,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat.

Nik Nazmi berkata, kajian itu juga menjadi sebahagian daripada cadangan pembentukan lembaga alam sekitar bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Terdahulu Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bertanya di Dewan Rakyat, meminta Nik Nazmi menyatakan sama ada kementeriannya bercadang menukar pelaksanaan EIA kepada kaedah di mana pemaju membayar yuran kepada JAS dan pemilihan syarikat EIA serta bayaran kepadanya dikendalikan oleh JAS.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata pilihan lain ialah membenarkan pihak berkuasa melantik perunding atau juruaudit untuk projek berprofil tinggi terpilih yang dianggap sensitif terhadap alam sekitar.

“Saya bersetuju ada kelemahan perlu diperbaiki, sebab itu saya bangkitkan kedua-dua model itu lebih awal. Sememangnya kajian sedang dijalankan dan ini akan selesai tidak lama lagi,” katanya.

Nik Nazmi turut menegaskan perunding EIA yang berdaftar bawah JAS adalah firma profesional tertakluk kepada tahap disiplin dan standard tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.