
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, dakwaan itu jelas tidak berasas kerana kerajaan perpaduan hari ini paling kukuh dengan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
“Jadi, di mana asas bahawa kerajaan hari ini tidak akan bertahan lama, apatah lagi dengan pelaksanaan akta anti-lompat parti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dengan adanya kerjasama padu Pakatan Harapan bersama Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak, serta undang-undang anti-lompat parti, tidak berasas untuk menganggap kerajaan sekarang boleh dijatuhkan.
“Ketika ramai menantikan hujah bernas Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam, rata-rata kecewa kerana Hadi masih tidak ‘move on’ atas kekalahan dalam pilihan raya dan mengharapkan kerajaan hari ini jatuh sebelum habis penggal.
“Adakah PAS dan Bersatu sedang merancang untuk mengulangi sejarah Langkah Sheraton dan menyebabkan pergolakan politik sekali lagi ketika negara berada di landasan tepat untuk keluar daripada krisis ekonomi?” soalnya.
Dalam dialog dengan penerbit buku sebelum ini, Hadi meramalkan kejatuhan kerajaan Anwar, tetapi tidak menjelaskan bagaimana perkara itu akan berlaku.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas beliau memberitahu Parlimen, keruntuhan yang akan berlaku tidak akan dipersalahkan kepada pembangkang.
“Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui ‘tebuk atap’, tetapi ‘atapnya bocor’ dan ‘dinding kacanya’ yang berkecai,” Hadi dipetik berkata di Parlimen tanpa menjelaskan secara terperinci maksudnya.