Ini permulaan banyak perkara baik, kata Shafee

Ini permulaan banyak perkara baik, kata Shafee

Peguam kanan itu berkata, mereka akan dapat tunjuk Najib Razak tidak bersalah jika Mahkamah Persekutuan dengar semula kes SRC International.

KUALA LUMPUR:
Shafee Abdullah berharap pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung kes pindaan laporan audit 1MDB hari ini akan menjadi permulaan kepada “banyak perkara baik yang akan datang”.

Peguam kanan itu berkata, keyakinannya tidak terhad kepada kes ini tetapi juga dalam kes rasuah SRC International, yang mana permohonan kebenaran untuk menyemak keputusannya kini di Mahkamah Persekutuan.

“Kami lawan dengan hebat dalam semakan ini kerana saya yakin, jika (panel baharu) Mahkamah Persekutuan dengar kes ini (SRC International) semula, kami akan dapat tunjukkan bahawa beliau (Najib) tidak bersalah,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi membebaskan Najib daripada tuduhan salah guna kuasa membabitkan pindaan yang dibuat kepada laporan audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Tertuduh bersama, Arul Kanda turut dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu.

Shafee menambah, pihaknya berharap peguam negara tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini kerana dapatan hakim boleh disokong.

Keputusan hari ini lebih daripada sekadar lepas dan bebas, katanya, kerana menurut hakim, bukan sahaja kes prima facie gagal dibuktikan, malah tiada unsur rasuah mahupun suapan ditemukan.

Shafee berkata, anak guamnya bersyukur atas keputusan hari ini dan ia akan menjadi pemangkin semangatnya untuk melawan kes-kes lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.