
Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, berkata sehingga 1 tengah hari, semua 10 daerah dilanda banjir sehingga menjejaskan lebih 33,000 mangsa.
Beliau berkata, semua agensi kini berhempas pulas untuk membantu dan sejak banjir berlaku Isnin lalu, ramai antara petugas sudah mula keletihan kerana ada antara mereka tidak tidur selama tiga hari, namun masih tetap bersemangat.
“Saya simpati melihat keadaan petugas-petugas kita. Saya juga minta tambahan daripada segi jentera atau pun petugas-petugas daripada negeri-negeri lain yang tidak terlibat banjir, contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1.
Ketika ditanya berkenaan bantuan didakwa lewat tiba, Onn Hafiz berharap mangsa banjir bersabar kerana semua agensi sudah digerakkan bermula hari pertama banjir, namun terdapat kelewatan disebabkan jumlah mangsa yang terlalu ramai.
Onn Hafiz berkata, bantuan kini telah banyak yang sudah tiba di PPS namun sekiranya masih ada yang terkurang ia akan diselesaikan segera, selain menghargai sumbangan daripada pihak badan bukan kerajaan dan syarikat persendirian.
“Pelarasan untuk bantuan akan dilakukan setiap hari, selain kita turut mendapat bantuan daripada NGO, syarikat swasta dan individu, yang membantu daripada segi pakaian dan makanan.
“Kita ucapkan jutaan terima kasih dan untuk rakyat Johor secara keseluruhan kekal bersabar, tenang, dan juga tabah dalam ujian yang cukup getir ini,” katanya.