
Beliau menjawab pertanyaan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berhubung isu keterlibatan wanita dalam pasaran buruh.
“Kementerian telah melaksanakan penambahbaikan dalam meningkatkan faedah pekerja wanita melalui pindaan Akta 265 yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023.
“Antara pindaan yang dibuat ialah memasukkan peruntukan baharu berhubung larangan pemberhentian wanita hamil,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Sivakumar berkata, majikan juga tidak dibenarkan memecat pekerja yang sakit sepanjang tempoh kehamilannya.
Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya berkuat kuasa 1 Sept 2022, tetapi ditangguhkan 1 Jan lalu, berikutan pihak industri serta majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa sebab, termasuk memerlukan masa kerana kebanyakan mereka masih dalam proses pemulihan ekonomi.
Antara kandungan pindaan ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 kepada 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.
Disember tahun lalu, Sivakumar dilaporkan berkata, penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955 tetap diteruskan mulai 1 Jan 2023 selepas penangguhan terdahulu.
Ini kerana, katanya, undang-undang itu sudah diluluskan Parlimen dan sebahagian besar pindaan itu berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa.