Muhyiddin dilarang ke luar negara

Muhyiddin dilarang ke luar negara

Bersatu mencabar sekatan perjalanan dikenakan ke atas presiden parti itu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dilarang ke luar negara, menurut dokumen mahkamah.

Bersatu mencabar sekatan perjalanan dikenakan terhadap presiden parti itu dalam permohonan semakan kehakiman difailkan di Mahkamah Tinggi.

“Sekatan perjalanan dikenakan kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim bimbang Muhyiddin akan bercakap mengenai perubahan dan perkembangan politik di Malaysia di forum antarabangsa,” katanya dalam permohonan itu.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dijadual berucap dalam satu forum di luar negara.

Bersatu mendakwa sekatan perjalanan dikenakan ke atas Muhyiddin adalah salah dan beliau tidak dimaklumkan mengenainya.

Parti itu berkata, sekatan perjalanan bertujuan mencemarkan nama baik Muhyiddin dan seolah-olah Ahli Parlimen Pagoh itu melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.

Sekatan perjalanan itu juga melanggar hak Muhyiddin bawah Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Sebelum ini dilaporkan Bersatu memfailkan tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank parti itu.

Parti itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semalam, mendakwa keputusan membekukan akaun banknya dilakukan dengan niat jahat.

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan beberapa akaun bank Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan agensi itu terhadap parti berkenaan.

Siasatan itu dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM92.5 bilion oleh kerajaan terdahulu pimpinan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.