
Faizal berkata, tiada perpecahan berlaku dalam parti sebaliknya taat setia dan sokongan ahli terhadap presiden semakin kuat.
“Secara jujur saya tidak nampak perpecahan daripada ahli atau pemimpin, malah sokongan dan taat setia kepada presiden parti bertambah kuat di setiap peringkat,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2022 di Menara PGRM.
Bagaimanapun, katanya suasana perhimpunan agung kali ini diselangi pelbagai emosi apabila melihat pemimpin utama parti berdepan pelbagai dakwaan.
Faizal berkata, “mood” perhimpunan agung agak terganggu apabila melihat negarawan diperlakukan sebegitu rupa, jadi semangat untuk berhimpun berubah kerana ada sedikit kemarahan dengan “kezaliman” yang berlaku.
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, menepis spekulasi dirinya antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.
“Hentikan spekulasi tidak berasas. Tiada sebab saya hendak dipanggil SPRM,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.