Cagar KWSP untuk pinjaman tak langgar akta, kata Anwar

Cagar KWSP untuk pinjaman tak langgar akta, kata Anwar

Perdana menteri berkata ia telah dibincangkan bersama KWSP dan difahamkan tiada sebarang halangan melaksanakannya.

IPOH:
Kaedah membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan, tidak melanggar Akta KWSP, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan KWSP, dan difahamkan tiada sebarang halangan untuk melaksanakannya.

Menjawab soalan mengenai kaedah itu yang mendapat pelbagai maklum balas ramai, termasuk yang negatif, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, ia bertujuan bagi membantu “kes-kes tertentu”.

“Biasalah… Kalau ikutkan memang tidak benarkan, tetapi ada kes mendesak contohnya pencarum ada simpanan tetapi tidak mampu misalnya bayar yuran pendidikan anak ke luar negara, kes-kes kita beri pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia.

Terdahulu, pada sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 di Parlimen pada Khamis lalu, Anwar berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Sebelum ini terdapat desakan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi membantu golongan terkesan pasca Covid-19 serta inflasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.