Kepimpinan baharu Umno pro-Zahid, tetapi parti masih terbahagi, kata sumber

Kepimpinan baharu Umno pro-Zahid, tetapi parti masih terbahagi, kata sumber

Seorang ahli MKT berkata, langkah presiden parti itu mengukuhkan kepimpinannya ialah 'bonus' untuk kerajaan perpaduan.

Masih wujud dua kem dalam Umno, satu kem cenderung ke arah presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, dan satu lagi menentangnya, kata sumber.
PETALING JAYA:
Umno masih terbahagi walaupun kepimpinan baharunya sejajar dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, kata seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Pemimpin Umno yang tidak mahu dinamakan itu berkata, bukan rahsia lagi bahawa kepimpinan tertinggi terdiri daripada “orang Zahid”.

Bagaimanapun, masih wujud dua kem dalam parti, kata sumber itu – satu kem pro-Zahid dan satu lagi menentangnya.

Kem menentang Zahid merasakan presiden Umno itu sepatutnya berundur berikutan kekalahan teruk parti itu dan Barisan Nasional pada PRU lalu.

Ahli MKT itu berkata, langkah Zahid mengelilingi dirinya dengan mereka yang sealiran dengannya mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden.

“Dan ini bonus untuk kerajaan perpaduan kerana ia akan kekal utuh. Jika kedudukan Zahid terancam, ada kemungkinan kerajaan tumbang.”

Zahid ialah timbalan perdana menteri.

Sementara itu, seorang pemimpin bahagian menafikan bahawa barisan kepimpinan semasa adalah rancangan “Zahid dan Najib”. Bekas perdana menteri Najib Razak digantikan oleh Zahid sebagai presiden selepas BN digulingkan pada PRU14.

Pemimpin itu berkata, Umno bukan milik mana-mana individu atau keluarga.

“Kami mahu parti kekal relevan dan menjadi pilihan utama rakyat,” katanya.

Pada Selasa, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, pengaruh Najib “belum habis” dalam Umno. Katanya, barisan MKT baharu parti itu terdiri daripada ramai “penyokong tegar” bekas presiden Umno yang dipenjarakan itu.

Walaupun Zahid kekal menguasai Umno, Khairy berkata, Najib masih memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan parti.

Khairy menamakan Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub, bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Lokman Noor Adam sebagai antara 25 ahli MKT baharu yang merupakan penyokong kuat Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.