
Bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Mac, purata penumpang bagi sehari adalah 846,000 orang.
Dalam kenyataan, Prasarana berkata perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan seramai 767,000 penumpang manakala perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) merekodkan 235,000 penumpang, angka tertinggi bagi perkhidmatan bas semenjak pandemik.
“Angka sejuta penumpang sehari tersebut termasuk purata 100,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sejak ia dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 16 Mac lepas,” menurut Prasarana.
Sebelum Covid-19 mula melanda negara pada awal 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari, kata syarikat itu.
Pada 16 Mac, perdana menteri mengumumkan tambang percuma bagi pengguna MRT laluan Putrajaya, termasuk bas perantara bagi MRT laluan Putrajaya dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral sehingga 31 Mac ini.
“Prasarana mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan disediakan dan akan terus berusaha untuk memastikan faktor keselamatan, kelancaran dan kestabilan perkhidmatan dipelihara untuk manfaat orang ramai,” menurut Prasarana.