
Lima panel hakim mahkamah atasan dijadual memutuskan pada Jumaat sama ada mahkamah atasan akan menyemak keputusannya yang mengesahkan sabitan Najib dan hukuman dalam kes rasuah SRC International.
Najib dibicarakan di Mahkamah Tinggi oleh Hakim Nazlan Ghazali melibatkan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC.
Pada 28 Jul 2020, Nazlan mendapati Najib bersalah dan menjatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.
Sabitan dan hukuman dikekalkan, pertama oleh Mahkamah Rayuan, pada 8 Dis 2021, kemudian keputusan sama dibuat panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.
Nazlan tidak berat sebelah?
Peguam Najib berhujah beliau layak mendapat semakan mengambil kira Nazlan tidak sepatutnya mendengar perbicaraan kes rasuah itu.
Dalam hujahan difailkan, pasukan pembelaan Najib mendakwa pendakwaan dan Nazlan menyembunyikan keterangan daripada pembelaan, menjurus “pelanggaran keadilan yang teruk” terhadap bekas perdana menteri berkenaan.
“(Hakim Nazlan) berdepan konflik kepentingan serius berhubung tugasnya sebelum ini sebagai peguam am dan setiausaha syarikat bagi Maybank Berhad dan kumpulannya.
“Dalam kedudukan itu (beliau) mempunyai pengetahuan melibatkan penubuhan dan infrastruktur serta tadbir urus syarikat SRC, secara peribadi mengetahui dan menguruskan pinjaman 1MDB (syarikat induk kepada SRC) dan secara peribadi mengetahui pinjaman RM140 juta diambil Putra Perdana Development Sdn Bhd, yang mana menjadi sumber RM42 juta,” kata peguamcara Shafee & Co dalam hujahan bertulis.
Pasukan pembelaan Najib juga berhujah tindakan pendakwaan bertentangan “dengan kepentingan keadilan”.
“Pihak pendakwaan mempunyai pengetahuan berhubung keterangan disebut dan tidak pernah cuba mengemukakannya dalam perbicaraan SRC.
“Ini bertentangan dengan prinsip asas perbicaraan adil di mana keterangan tersedia, sama ada memihak atau tidak, perlu diberikan kepada setiap pihak demi kepentingan keadilan,” menurut hujahan itu.
Tindakan pendakwaan seperti mencadangkan “mereka mengetahui berhubung konflik kepentingan” dan “cuba menyembunyikan dokumen (daripada pembelaan) yang sudah tersedia”.
“Menyembunyikan keterangan jelas ini membawa kepada pencemaran integriti (perbicaraan) mahkamah menjurus ‘kesilapan dan ketidakadilan’ dalam keputusan, kata peguambela itu.
Peguambela mendakwa, Nazlan sendiri “sengaja gagal mendedahkan peranan dan pembabitannya” dalam Maybank Investment Bank, yang terlibat dalam menubuhkan SRC melalui Bina Fikir Sdn Bhd.
Kumpulan Maybank menerima bayaran RM800,000 daripada 1MDB untuk perkhidmatan mereka, menurut hujahan itu.
Selain itu, kedudukan Nazlan sebagai peguam am Maybank dan setiausaha syarikat Maybank bermaksud beliau mempunyai “pengetahuan sebenar” atau “konstruktif” membabitkan pinjaman RM140 juta kepada Putra Perdana Development.
Hujahan itu turut mendakwa afidavit sokongan Najib menunjukkan Nazlan mengambil bahagian dalam “perbincangan dan membuat keputusan” berkaitan kemudahan pinjaman RM4.17 bilion diberikan kepada 1MDB bagi perolehan Tanjong Energy.
Kesannya, hakim itu berpotensi menjadi saksi dalam kes terbabit, menurut hujahan tersebut.
Tindakan Nazlan yang “tidak mendedahkan” mengenai “pengetahuan khusus dan pembabitannya dalam transaksi serta beberapa perkara yang berlaku”, yang menjejaskan kes SRC telah menghalang Najib daripada menggunakan haknya bagi mencabar sifat berat sebelahnya sebagai hakim bicara, kata mereka.
Terdapat kemungkinan Nazlan mungkin tidak “berat sebelah atau bebas”, yang mana “menjejaskan secara teruk” hak Najib mendapat perbicaraan adil, hujah mereka.
Najib memfailkan permohonan rayuan menerusi peguamcaranya, pada 7 Jun tahun lalu.
Ia didengar selama dua hari dan ditolak mahkamah atasan, pada 16 Ogos.
Tengku Maimun dalam konflik?
Najib juga mencabar penolakan mahkamah atasan, pada 23 Ogos, berhubung permohonan menyingkirkan Tengku Maimun daripada mendengar rayuan terakhirnya.
Mereka berhujah, Tengku Maimun tidak sepatutnya mendengar dan memutuskan usul penarikan diri itu, yang melibatkan dirinya.
Dengan melakukan sedemikian, ia “mewujudkan campur tangan tidak wajar dalam perjalanan keadilan kerana ada kemungkinan hakim tidak cukup objektif untuk mengetahui sama ada berlaku berat sebelah,” dakwa hujah itu.
Tanpa mengambil kira Tengku Maimun, yang dikatakan pembabitannya sebagai “cacat”, baki empat hakim tidak menjadi kuorum sah mengikut Seksyen 74(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kata mereka.
Seksyen 74(1) memperuntukan bahawa “tiap-tiap prosiding di Mahkamah Persekutuan hendaklah didengar dan diselesaikan oleh tiga orang hakim atau oleh apa-apa bilangan ganjil hakim yang lebih besar sebagaimana yang ditentukan oleh ketua hakim negara dalam apa-apa kes tertentu.”
Peguam Najib berhujah, Tengku Maimun sepatutnya menarik diri, mengambil kira suaminya, Zamani Ibrahim, sebelum ini memuatnaik hantaran dalam media sosial “mempunyai sentimen negatif” terhadap Najib dengan mengaitkan bekas perdana menteri itu atas kerugian 1MDB.
Mereka juga merujuk tempoh masa menguruskan permohonan penarikan diri itu “tanpa memberikan peluang secukupnya bagi penyediaan penukaran afidavit dan hujahan.”
Adakah keadaan itu menimbulkan apa dipanggil pasukan pembelaan sebagai “tergesa-gesa” untuk melupuskan dua permohonan menarik diri dan rayuan yang sepatutnya?
Kita akan mengetahui semua itu dan banyak lagi apabila panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, esok.
Panel yang mendengar permohonan Najib bagi kebenaran semakan penolakan rayuan di Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.
Turut bersidang, hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, dan Nordin Hassan, serta Abu Bakar Jais, yang dipilih Mahkamah Rayuan.
Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara, bermula 23 Ogos 2022 sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.