Guna simpanan KWSP sokong pinjaman bermasalah, kata Wan Saiful

Guna simpanan KWSP sokong pinjaman bermasalah, kata Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata skim itu hanya menguntungkan bank bukannya rakyat.

(Dari kiri) Pemandu teksi Noorazlan Ismail, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia Azmi Mohd Tahir dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menyerahkan memorandum kepada Istana Negara berhubung pengeluaran KWSP bersasar.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen Bersatu berkata, membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan dalam Akaun 2 untuk menyokong permohonan pinjaman peribadi menimbulkan masalah.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata isu berhubung perkara itu tiada kaitan dengan umur pencarum dibenarkan membuat pengeluaran, sebaliknya konsep itu sendiri.

“Konsep digunakan di sini ialah seseorang perlu meminjam daripada bank untuk menyelesaikan sebarang pinjaman (sedia ada) daripada bank. Jadi, sebenarnya pinjaman itu tidak akan dilangsaikan dan ini walaupun pencarum KWSP mempunyai simpanan dalam akaun mereka (untuk berbuat demikian).

“Ini sebabnya kami tidak setuju dengan idea kerajaan (menggunakan simpanan KWSP untuk menyokong permohonan pinjaman).

“Konsep ini menjadi ‘komersial’ dan ia hanya menguntungkan bank, bukannya rakyat,” katanya di luar Istana Negara.

Beliau berkata, ia tidak bermasalah jika kerajaan sendiri meminjamkan wang itu melalui agensinya dengan kadar faedah lebih rendah.

Wan Saiful menemani pemandu teksi, Noorazlan Ismail, 48, menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi.

Noorazlan berjalan lebih 300km dari Skudai, Johor, ke Istana Negara untuk menggesa skim pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar.

Perjalanannya yang bermula 28 Mac lalu tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet serta ahli politik, seperti Wan Saiful dan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

Beliau yang tiba di Kuala Lumpur semalam, dibawa menaiki kenderaan ke Istana Negara dengan Wan Saiful untuk mengelakkan sebarang masalah dengan pihak berkuasa.

Noorazlan dijangka dibawa ke Parlimen petang ini untuk menemui Ahli Parlimen lain.

Terdahulu, KWSP hari ini mengumumkan ia memuktamadkan mekanisme, terma dan syarat penggunaan simpanan Akaun 2 bagi menyokong permohonan pembiayaan pinjaman peribadi.

Dana itu berkata, simpanan dalam Akaun 2 akan menjadi asas untuk mendapatkan pembiayaan peribadi menerusi permohonan awal skim “Pengeluaran Bersyarat Umur 50 atau 55 Tahun”.

Skim itu akan membabitkan dua fasa, dengan fasa pertama bermula 7 April ini untuk pencarum berusia 40 tahun ke atas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.