
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata dalam tempoh sama hasil saringan dijalankan terhadap 2 juta pelajar sekolah rendah mengesan seramai 341 murid turut terjebak dengan perbuatan itu.
“Murid yang dikenal pasti merokok diberikan intervensi berkenaan rokok, manakala murid yang tidak merokok diberikan pendidikan kesihatan berterusan bagi memastikan mereka kekal tidak merokok,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan Senator N Balasubramaniam yang ingin tahu perkembangan terkini pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Generasi Penamat-Anti-Rokok (Gegar-18) dan sejauh manakah kempen ini berhasil.
Lukanisman berkata, KKM akan terus memperkasa dan memperluaskan program Gegar-18 yang bertujuan memberi pengetahuan perundangan dan pendidikan berterusan untuk mewujudkan persekitaran bebas dari sebarang bentuk amalan merokok.
“Kempen ini juga dijalankan bagi memastikan kumpulan Gegar-18 ini kekal bebas rokok sepanjang hayat mereka. Kempen Gegar-18 juga dijalankan di sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan dan Kementerian Pendidikan tinggi.
“Selaras dengan kempen Gegar-18 ini juga, sebanyak 19 kampus universiti telah melaksanakan program MQUIT Universiti dan buat saringan serta intervensi untuk menghentikan tabiat merokok dalam kalangan pelajar pengajian tinggi,” katanya.
Katanya, KKM juga akan terus memperluaskan kempen Gegar-18 bagi golongan belia yang tidak memasuki IPT melalui kerjasama Majlis Belia Malaysia dan pertubuhan lain yang berkaitan.