
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia Semenanjung Malaysia (NUPCIW), Abdul Halim Mansor, berkata anak syarikat National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) itu diberi tempoh 14 hari untuk membuat bayaran berkenaan, dan sekiranya gagal kes itu akan dibawa ke mahkamah.
“Sepatutnya syarikat perlu bayar pampasan dalam tempoh 30 hari selepas diberhentikan, tetapi mereka mungkir janji dan tidak membayar pampasan seperti dipersetujui kedua-dua pihak.
“Sekiranya ada masalah, pemilik sepatutnya hubungi pihak kesatuan, bukan melarikan diri atau menyorok,” katanya ketika bersama lebih 50 bekas pekerja SME Ordance yang berpiket di hadapan bangunan Nadi.
Halim mendakwa, alasan syarikat itu yang cuba mengaitkan masalah kewangannya berpunca daripada kelewatan pembayaran oleh Kementerian Pertahanan hanya alasan kerana ia berstatus sendirian berhad.
Seorang bekas pekerja, Azian Ibrahim Alias Mokhtar, 50, ketika ditemui FMT, kecewa dengan sikap syarikat yang “zalim” dan tidak “berhati perut”.
Dia yang bekerja di kilang itu lebih 33 tahun bersama suami, berkata lebih 10 rakan mereka meninggal dunia tanpa sempat mendapat pampasan yang sepatutnya diterima.
“Ramai yang dah meninggal, sakit… ada yang meninggal atas kerusi sambil duduk sebab terlalu tertekan.
“Bila syarikat buat macam ini, lagi ramai bertambah sakit sebab semua tertekan,” katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah.
Ibu kepada empat anak itu merayu pihak syarikat membayar pampasan mereka sebelum Aidilfitri, agar wang diterima mengurangkan sedikit lelah ditanggung untuk menyambut Syawal.
K Krishnakumar, 49, pula hanya mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin supaya sakit radang sendi dihidapinya sejak beberapa bulan lalu dapat dirawat.
Selepas diberhentikan daripada SME Ordance awal tahun lalu, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi diberhentikan kerana tidak berdaya berjalan akibat kaki membengkak.
“Saya harap dengan duit pampasan ini, dapat saya membayar kos rawatan untuk saya dapat berjalan kembali,” katanya.