Lindung daripada fitnah, menteri setuju JPJ guna kamera badan

Lindung daripada fitnah, menteri setuju JPJ guna kamera badan

Loke Siew Fook berkata penggunaan kamera badan bukan sahaja dapat meningkatkan integriti agensi penguatkuasaan, malah melindungi mereka daripada fitnah.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pihaknya setuju dengan cadangan agensi penguatkuasaan bawah kementeriannya menggunakan kamera badan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook setuju kamera badan digunakan agensi penguatkuasaan bawah Kementerian Pengangkutan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, penggunaan kamera badan bukan sahaja dapat meningkatkan nilai integriti agensi penguatkuasaan di mata rakyat, malah melindungi pegawai daripada menjadi mangsa fitnah ketika menjalankan tugas.

“Saya tertarik dengan cadangan Ahli Parlimen Jerantut (Khairil Nizam Khirudin) berhubung pemakaian kamera badan kepada pihak penguat kuasa.

“Ini sesuatu yang amat saya setuju. Kita akan mengambil cadangan itu,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Loke memaklumkan Kementerian Pengangkutan akan menambah baik perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan menggunakan motosikal (p-hailing), terutama bagi memastikan aspek keselamatan penunggang terjamin.

Beliau akan memastikan syarikat p-hailing tidak terlalu menekan pemandu supaya tiada risiko pelanggaran peraturan keselamatan jalan raya yang akhirnya menyebabkan berlaku kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.