Nik Nazmi pertahan kenyataan tanah rizab Melayu Kedah kurang

Nik Nazmi pertahan kenyataan tanah rizab Melayu Kedah kurang

Menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim berkata kenyataan itu berdasarkan angka disediakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

Ahli Parlimen PN mahu Nik Nazmi Nik Ahmad dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat berhubung tanah rizab Melayu di Kedah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan kenyataan berhubung pengurangan tanah rizab Melayu di Kedah susulan usul merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

“Saya telah menyatakan angka disediakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) berdasarkan maklumat pejabat berkenaan di Kedah, dan yakin dengan kerja penjawat awam terlibat di peringkat persekutuan dan negeri.

“JKPTG tidak menerima maklumat tambahan dari pejabat PTG Kedah dari 1 Dis hingga 29 Mac tahun ini,” katanya di Facebook.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, maklumat tentang keluasan tanah rizab Melayu Kedah meningkat sebagaimana dibangkitkan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman tidak dikongsikan dengan pihak JKPTG.

Hari ini, Tarmizi mendakwa Nik Nazmi memberikan jawapan mengelirukan berhubung fakta tanah rizab Melayu di Kedah dan menghantar usul untuk merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya, usul itu dibuat terhadap Nik Nazmi yang disifatkan menghina majlis dan ahli dewan bawah Perkara 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, beliau mengambil maklum kenyataan dibuat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai peningkatan tanah rizab Melayu Kedah dari 1933 hingga hari ini.

“Namun, memandangkan beliau mula menjadi menteri besar pada 2020, tentulah angka dari 2021 hingga 2022 menjadi tumpuan berbanding Kedah ketika era British dan jajahan Jepun atau Siam pada Perang Dunia Kedua,” katanya.

Semalam, Sanusi menafikan dakwaan Nik Nazmi, dengan menyatakan data hingga 19 Jan menunjukkan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah meningkat 408 hektar.

Pada 29 Mac, Nik Nazmi memaklumkan, tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkurangan antara 2021 dan 2022.

Katanya, tanah rizab Melayu di Kedah berkurangan daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.