Syarat ketat MM2H jejas pasaran

Syarat ketat MM2H jejas pasaran

Persatuan Perunding MM2H berkata, jumlah permohonan menurun kepada 10% daripada purata tahunan sebelum peraturan baharu dilaksanakan.

Syarat baharu MM2H termasuk mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.
PETALING JAYA:
Syarat lebih ketat ke atas pemohon Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menyebabkan jumlah permohonan berkurangan 90%, kata Persatuan Perunding MM2H.

Presidennya, Anthony Liew memberitahu FMT, purata jumlah pemohon dari 2017 hingga 2019 kira-kira 5,200 setahun.

“Buat masa ini, saya percaya ia hanya kira-kira 10% daripada itu. Isu utama ialah syarat ketat.”

Program MM2H bertujuan menarik warga asing menetap di negara ini untuk jangka panjang, tetapi syarat baharu diperkenalkan pada 2021 selepas pembekuan semasa pandemik Covid-19.

Pemohon kini dikehendaki memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta. Sebelum ini, pemohon hanya memerlukan simpanan antara RM300,000 dan RM500,000.

Mereka juga mesti menunjukkan pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 dahulu.

Liew berkata, syarat pendapatan dan simpanan antara punca utama jumlah permohonan berkurangan. Katanya, negara jiran tidak menetapkan syarat sedemikian.

Walaupun pesara asing mungkin mempunyai aset cair mencukupi, mereka mungkin tidak sentiasa mempunyai pendapatan luar pesisir bulanan mencukupi untuk layak menyertai MM2H.

“Kami cadangkan ia diubah kepada RM600,000 ke bawah. Kita perlu menggalakkan pemohon yang berjaya untuk menetap di Malaysia dan berbelanja untuk membeli hartanah dan kereta, selain pendidikan swasta, perubatan, riadah dan sektor lain yang menerima kesan limpahan ekonomi.”

Katanya, tidak banyak agensi mempromosikan dan membantu warga asing memohon program itu kerana mereka tidak dapat menampung kos operasi, dengan beberapa agensi bekerja secara sambilan.

Seorang ejen yang enggan dikenali berkata dia melihat “penurunan yang besar” dalam jumlah pemohon.

Katanya, dia mengemukakan 277 permohonan pada 2019, dan 108 permohonan sebelum program digantung pada Julai 2020. Apabila program itu disambung semula pada Oktober 2021, tiada permohonan.

Tidak mudah untuk dia mendapatkan pelanggan kerana syarat yang lebih ketat, dan kerosakan pada rangkaiannya disebabkan oleh wabak itu.

Tahun lepas, perunding itu mengemukakan lapan permohonan dan tiga dihantar setakat tahun ini.

“Syaratnya terlalu tinggi. Jika pemohon dapat memenuhinya, mereka tidak akan memilih Malaysia kerana ada pilihan lebih baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.