
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata kedua-dua anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Kelantan berumur 28 dan 29 tahun itu mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Zaki berkata, kedua-dua anggota polis itu kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital di sini.
“Kedua-dua anggota polis itu ditikam ketika bergelut untuk menahan suspek warga tempatan berusia 30 tahun kerana disyaki memiliki dadah.
“Aminullah Islahudin Selvan, 29, mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan, luka tusukan di siku serta luka di betis kanan, manakala Mohammad Arif Ismail, 28, cedera pada tangan kanan dan bahagian belakang badan,” katanya pada sidang media.
Mengulas lanjut, Zaki berkata, hasil pemeriksaan ke atas plastik hitam yang dibawa suspek, polis menemukan 12,000 biji pil yaba dan 282.90g heroin.
“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM232,000. Turut dirampas sebilah pisau digunakan suspek untuk menikam anggota polis dalam kejadian itu.
“Suspek positif methamphetamine direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Zaki berkata, dalam satu kes berasingan, polis berjaya merampas 30,000 biji pil yaba bernilai RM330,000 pada Selasa lepas di tepi sungai di Rantau Panjang.
“Rampasan dilakukan apabila anggota polis berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand berumur 27 tahun. Ketika ditahan suspek sedang menggalas beg mengandungi dadah terbabit.
“Suspek yang tidak boleh berbahasa Melayu telah direman selama 14 hari bermula Rabu hingga 25 Apr depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.