PN bimbang hubungan baik PH-BN, kata Loke

PN bimbang hubungan baik PH-BN, kata Loke

Setiausaha Agung DAP berkata, PN tentunya tidak mahu melihat kerjasama dalam kerajaan perpaduan berpanjangan kerana ia merugikan mereka.

Loke Siew Fook berkata, kerjasama erat antara PH dan BN dapat memperkukuhkan kestabilan politik negara serta menyukarkan PN mengambil alih kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, Perikatan Nasional (PN) bimbang hubungan baik Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan akan menyukarkan usaha mereka mengambil alih kerajaan.

Beliau berkata, PN tentu tidak mahu melihat kerjasama itu berpanjangan kerana ia akan merugikan mereka dari segi politik.

Ini kerana, katanya, kerjasama erat antara dua gabungan itu dapat memperkukuhkan kestabilan politik negara.

“Jadi, bila politik stabil, kita dapat tadbir negara dengan baik, maka sudah tentu rakyat akan sokong.

“Sudah tentu mereka pembangkang akan rasa rugi. Kalau kerajaan dan rakyat suka, sudah tentu dalam PRN nanti mereka akan ditolak,” katanya menurut Sinar Harian.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, PN juga akan melakukan apa saja untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

“Sudah tentu pihak lawan akan memecahkan kita. Itu sudah dapat dijangkakan,” katanya.

Ditanya sama ada kerjasama dengan BN memberi kelebihan kepada DAP untuk meraih undi Melayu, Loke berkata, beliau tidak melihatnya sebagai kelebihan, tetapi bukti kepada semangat kerajaan perpaduan.

Katanya, ia juga bukan dilihat sebagai keuntungan politik, tetapi kestabilan politik yang harmoni.

“Di Negeri Sembilan misalnya, kita tidak ada banyak sangat masalah dan saya rasa hubungan baik itu dah terjalin sebelum kita bentuk kerajaan perpaduan lagi.

“Bila kerajaan perpaduan dibentuk dan di Negeri Sembilan boleh dikatakan agak biasa untuk kita teruskan kerjasama ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.