
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, PH memerlukan Umno untuk membentuk kerajaan stabil, manakala Umno pula perlu berada dalam kerajaan bersama PH untuk mengakses kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Bagi Umno, bersekutu dengan PH lebih baik daripada Perikatan Nasional (PN) kerana ia akan menjadi ‘ahli peringkat ketiga’ dalam gabungan itu, di mana ia perlu bersaing untuk kerusi dan sumber sama dengan PAS dan Bersatu yang lebih dominan,” katanya kepada FMT.
PAS dan Bersatu, yang merupakan rakan kerjasama dalam PN, memenangi 74 kerusi pada PRU15, manakala Umno hanya berjaya menguasai 26 kerusi.
Minggu lalu, bekas naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob memberi amaran berhubung keretakan dalam “kahwin paksa” dengan PH, selepas pemimpin Umno bertelagah secara terbuka dengan DAP.
Pemimpin Umno dan DAP bertelagah mengenai pendirian Umno dengan pengundi Melayu dan sokongan Umno terhadap pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri, Najib Razak, yang sedang dipenjarakan kerana rasuah.
Azmil berkata, kerajaan perpaduan akan bertahan sehingga tamat penggal selagi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dapat mengekalkan penguasaannya dalam parti itu.
Seorang lagi penganalisis politik, Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM, berkata mungkin analogi “kahwin paksa” Ismail benar berdasarkan permusuhan lama Umno dan DAP.
“Kelangsungan kerajaan perpaduan bergantung sama ada Umno akan memenangi kerusi dalam PRN di enam negeri tidak lama lagi. Sekiranya parti itu memenangi kerusi, maka ia akan kekal dengan kerajaan perpaduan.
“Tetapi, jika mereka kalah teruk (dalam PRN), maka mereka mungkin mahu menggunakan strategi lain.”
Azeem berkata, Umno akan tewas jika menarik diri daripada kerajaan perpaduan.
“Tetapi, mereka mungkin mahu mempertimbangkan semula pakatan dengan (DAP dan PH) di peringkat negeri atau persekutuan pada PRU akan datang.”