Tersilap sasaran, warga emas maut ditetak dengan parang

Tersilap sasaran, warga emas maut ditetak dengan parang

Suspek bersenjatakan parang pada asalnya mahu menyerang adiknya susulan pertengkaran, namun warga emas itu menjadi mangsa ketika dalam perjalanan ke kedai.

Seorang warga emas berusia 62 tahun meninggal dunia akibat ditetak suspek berusia 43 tahun di Siburan, Sarawak. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas menjadi mangsa keadaan apabila maut ditetak kerana disalah anggap sebagai individu lain dalam kejadian di Siburan, Sarawak.

Menurut Utusan Borneo, suspek yang bersenjatakan parang pada mulanya mahu menyerang adiknya yang melarikan diri susulan pertengkaran di kediaman mereka selepas berbuka puasa.

Namun, malang menimpa warga emas itu yang secara kebetulan dalam perjalanan ke kedai apabila ditetak suspek.

Ketua Polis Simunjan Wong Tee Kui berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 43 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku sekitar 7.40 malam kelmarin, di mana mangsa seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun telah disahkan meninggal dunia.

“Susulan itu, suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wong turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.