Pengumuman KWSP oleh PM tak cermat, kata KJ

Pengumuman KWSP oleh PM tak cermat, kata KJ

Bekas menteri kesihatan itu berkata pengumuman seperti itu sepatutnya memerlukan perancangan rapi beberapa bulan sebelumnya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan untuk menaikkan sumbangan KWSP dari majikan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai cadangan menaikkan caruman KWSP oleh majikan sebagai “tidak membantu” dan “tidak cermat”.

Khairy berkata, berdasarkan pengalaman bekerja dengan beberapa perdana menteri sebelum ini, pengumuman seperti itu akan melalui perancangan rapi beberapa bulan sebelumnya, namun kenyataan Anwar pada Isnin lalu hanya sekadar “melepaskan batuk di tangga”.

“Lazimnya, kita akan panggil semua kementerian untuk turut bersama memikirkan apa boleh diumumkan oleh perdana menteri.

“Bukan hanya umum saja untuk dapatkan ‘headline’. Ia sangat bahaya sebab beliau adalah perdana menteri,” katanya pada siri podcast Keluar Sekejap.

Bekas ketua pemuda Umno itu juga berkata, pengumuman tanpa tindakan selepas itu hanya akan menimbulkan panik dalam kalangan majikan dan pekerja.

“Pekerja bimbang jika majikan dipaksa naikkan caruman KWSP, manfaat yang mereka dapat akan dipotong,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau.

Sementara itu, bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan mempersoalkan angka 20% yang diumumkan perdana menteri, dengan meminta kerajaan membuat kajian lengkap terlebih dahulu sebelum mengumumkannya.

“Kalau nak buat kajian dahulu, lebih baik jangan sebut. Mungkin (kerajaan) boleh kata bercadang nak naikkan caruman KWSP. (Bila terus umum 20%) ia timbulkan panik,” katanya.

Pada Isnin , Anwar berkata kerajaan akan berbincang mengenai cadangan untuk meningkatkan kadar caruman majikan daripada 13% kepada 20% susulan permintaan daripada pelbagai kesatuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.