
Peguam Kwan Will Sen berkata, perbicaraan dijadualkan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mohzanuddin Shah Raja Mohzan mulai 13 Jan, dan 26 Feb 2025.
“Pihak-pihak bertemu hakim perbicaraan pada prosiding dalam talian untuk mendapatkan arahan pra-perbicaraan,” kata Kwan, yang mewakili SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.
Beliau berkata, satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 4 Ogos.
Saman ini adalah satu daripada 22 tindakan sivil yang dimulakan oleh SRC International dan syarikat induknya, 1MDB, pada 2021 terhadap individu yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu.
Kedua-dua 1MDB dan SRC menuntut sejumlah USD23 bilion (RM94.43 bilion) sebagai ganti rugi.
SRC International dan Gandingan Mentari memfailkan saman terhadap Najib, mendakwa dia melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan dana SRC International, dan mendapat manfaat peribadi daripadanya.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitannya dalam kes SRC International berhubung tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram.
Sebagai sebahagian daripada tindakan sivilnya terhadap Najib, SRC International tahun lepas memperoleh injunksi Mareva daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan aset bernilai sehingga RM42 juta sementara menunggu saman diselesaikan.
Disember lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib mengetepikan perintah injunksi, manakala Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar permohonan kebenaran oleh bekas perdana menteri itu bulan depan.
Mengikut terma injunksi itu, Najib tidak dibenar mengeluarkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan asetnya di dalam dan di luar negara bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penentuan muktamad saman itu.
Dia juga hanya boleh mengeluarkan sehingga RM100,000 sebulan dari akaun banknya untuk menampung perbelanjaan sara hidup dan yuran guaman.