Wan Rakemi menang ketua Umno Tanah Merah

Wan Rakemi menang ketua Umno Tanah Merah

Wan Rakemi mengalahkan dua pencabarnya Shaari Hassan dan Mohd Bakri Mustapha dengan majoriti 38 undi.

Wan Rakemi Wan Zahari dipilih sebagai ketua Umno Tanah Merah pada pemilihan bahagian itu, hari ini. (Gambar Facebook Wan Rakemi Wan Zahari)
PETALING JAYA:
Wan Rakemi Wan Zahari menang jawatan ketua Umno Tanah Merah pada pemilihan parti di bahagian itu hari ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Akbar Salim, berkata Wan Rakemi mendapat 196 undi mengalahkan dua pencabarnya Shaari Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha yang masing-masing memperoleh 158 undi dan 114 undi.

“Saya bersyukur kerana pemilihan hari ini berjalan lancar, tenang dan jumlah perwakilan keluar mengundi sangat membanggakan apabila seramai 474 daripada 515 perwakilan keluar mengundi,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, keputusan itu menyaksikan mandat kepimpinan Umno Tanah Merah dikembalikan semula kepada bahagian berkenaan selepas ia digantung sejak 16 Jun 2020.

“Selepas ini kita akan fokus untuk membina semula Umno Tanah Merah dan seterusnya bersedia menghadapi PRN Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, bahagian itu diketuai oleh Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah.

Bagaimanapun, Ikmal Hisham bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu selepas PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.