
Ahli majlis tertinggi PN itu, yang juga timbalan presiden PAS, memberi alasan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyalurkan terus peruntukan itu kepada Ahli Parlimen pembangkang, sebagaimana kepada wakil rakyat pemerintah.
“Saya pun tidak tahu apa cadangan dimaksudkan, apa jumlah peruntukan atau perincian peruntukan. Semua perbelanjaan terikat dengan peraturan dan laporan lengkap,” katanya kepada FMT.
“Ya, (tidak akan kemuka cadangan tapi) salurkan terus. Kami bukan penagih yang perlu merayu-rayu macam peminta sedekah, sebaliknya kerajaan adil akan menyalurkannya.
“Ini bukan kepentingan Ahli Parlimen sebaliknya untuk rakyat telah memilih kami dalam PRU lalu. Saya harap sebagai sebuah kerajaan madani, laksanakan agihan tersebut.”
Terdahulu, Fadillah dilapor berkata kerajaan perlu minta pembangkang kemukakan cadangan agar suatu kerjasama boleh dijalin “ke arah memastikan negara kita lebih stabil”, sambil mengingatkan bahawa pembangkang bukan berurusan dengan ‘kerajaan Pakatan Harapan’ tetapi kerajaan perpaduan.
Sebelum ini, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, pada 1 Mei lepas dilapor berkata beliau dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin akan mengadakan perjumpaan dengan Anwar Ibrahim, bagi membincangkan isu agihan peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang selepas perdana menteri memaklumkan pihaknya “masih menunggu permohonan” daripada mereka.
Anwar pada 4 April lepas mengulangi kesediaan memberi jumlah peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat pemerintah. Dua hari kemudian, Takiyuddin, Hamzah, dan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin, dilantik untuk mengadakan rundingan dengan Fadillah.