
Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata walaupun dakwaan salah laku dan pemilikan saham dilemparkan kepada Azam, PAS secara konsisten menerima penafian terhadap kesalahan itu.
“PAS percaya lanjutan tempoh perkhidmatan beliau ini turut mengesahkan kepercayaan tersebut dan menolak persepsi buruk yang cuba dilontarkan terhadap beliau dan SPRM oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2021, Azam menjadi perhatian media susulan dakwaan berkait pemilikan saham. Beliau menyangkal sebarang dakwaan salah laku dan disoal oleh tiga jawatankuasa SPRM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kemudian mengumumkan isu tersebut selesai selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendapati tidak ada kes terhadap Azam.
Selain itu, Takiyuddin berkata, dengan lanjutan perkhidmatan Azam walaupun sudah mencapai umur persaraan wajib, membuktikan beliau seorang pembanteras rasuah yang berkesan.
Semalam, kerajaan mengumumkan tempoh perkhidmatan Azam sebagai ketua SPRM dilanjutkan setahun lagi, berkuat kuasa 12 Mei.