SPAN perlu siasat gangguan air di P Pinang, Kedah, kata Chow

SPAN perlu siasat gangguan air di P Pinang, Kedah, kata Chow

Ketua menteri Pulau Pinang mahu perkara itu disiasat kerana lebih 600,000 rakyatnya dan Kedah terjejas akibat gangguan air.

Chow Kon Yeow (tengah) bersama K Pathmanathan dan exco Zairil Khir Johari dan Phee Boon Pooh di loji rawatan air Lahar Tiang di Kepala Batas.
KEPALA BATAS:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyiasat gangguan bekalan air di Pulau Pinang dan Kedah yang mengakibatkan ratusan ribu pengguna terjejas.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor, berkata kerosakan sensor automatik di baraj Sungai Muda menyebabkan air mengalir ke laut dan berlaku gangguan bekalan air di Kedah dan Pulau Pinang.

“Kami mahu siasatan dijalankan. Lebih 400,000 pengguna terjejas di Pulau Pinang dan lebih 200,000 pengguna di Kedah,” kata Chow kepada pemberita di loji rawatan air Lahar Tiang.

Semalam, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi amaran mengenai gangguan bekalan air sehingga Rabu, menjejaskan ratusan ribu pengguna tiga daerah di Seberang Perai dan juga selatan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA, K Pathmanathan, berkata keadaan itu juga menjejaskan bekalan kepada ribuan pengguna di tiga daerah di Seberang Perai dan selatan Pulau Pinang.

Menurut Pathmanathan, paras air sungai Muda menurun separuh kepada 1m berbanding 2m kebiasaannya.

Akibatnya, PBAPP tidak dapat mengabstrak air mentah dari Sungai Muda, yang merupakan sumber utama air mentah di Pulau Pinang.

Beliau berkata, PBAPP juga tidak dapat memastikan bila pengeluaran penuh air terawat akan disambung semula kerana bergantung kepada paras air sungai kembali kepada 2m atau lebih.

Dalam pada itu, Chow menggesa Putrajaya menubuhkan Lembaga Ulu Muda Basin untuk menguruskan kawasan tadahan air itu secara berkesan dan profesional. Idea itu dicadangkan bersama oleh PBAPP dan kerajaan negeri Pulau Pinang dua tahun lalu.

Chow berkata, Kedah dan Pulau Pinang amat bergantung kepada kawasan tadahan air Ulu Muda, yang merangkumi Sungai Muda untuk bekalan air dan pengairan.

“Kita tidak boleh mengabaikan kepentingan memulihara lembangan sungai ini dengan betul demi kebaikan rakyat kita, ekonomi kita, dan masa depan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” tambahnya.

Masih tiada air, tekanan rendah

Sementara itu, mengenai status semasa gangguan air di negeri ini, Pathmanathan berkata 10%, atau lebih 40,000 pengguna, masih berdepan ketiadaan air atau tekanan rendah di daerah barat daya Pulau Pinang.

Kawasan terjejas ialah Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Sungai Tiram, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, Gertak Sanggul, Sungai Batu, Pulau Betong, Permatang Mayang Pasir, Batu Hitam, Jalan Pondok Upeh dan Jalan Teluk Kumbar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.