
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu 11 butik Swatch minggu lalu dengan merampas koleksi jam bertema warna pelangi dari “Pride Collection” jenama itu, menurut laporan media.
Menurut laporan The Edge, serbuan dilakukan pada 13 dan 14 Mei di butik-butik Swatch di pusat beli belah, antaranya Pavilion KL, One Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall, dan Suria Sabah.
Lima butik di pusat beli belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru, dan Kuching diberi amaran.
Serbuan itu dilaporkan susulan warganet mengaitkan koleksi berkenaan dengan sokongan kumpulan rock Britain, Coldplay, terhadap masyarakat lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).
Coldplay dijadualkan mengadakan konsert pertama di Malaysia pada November. Bagaimanapun, seorang pemimpin PAS mendesak supaya konsert itu dibatalkan atas alasan menggalakkan budaya hedonisme dan songsang.
CEO Kumpulan Swatch Nick Hayek Jr berkata, syarikat itu telah lama dikenali kerana meraikan pelbagai lapisan masyarakat menerusi jam tangan yang “berwarna-warni dan menyeronokkan”.
“Kami menyangkal pendapat koleksi jam kami, yang menggunakan warna pelangi dengan mesej keamanan dan kasih sayang, mampu membahayakan sesiapa. Ia tidak bersifat politik,” katanya menurut laporan itu.
“Kami tertanya-tanya bagaimana bahagian kawalan dan penguatkuasaan KDN akan merampas pelangi indah yang semula jadi muncul ribuan kali setahun di langit Malaysia.”
The Edge melaporkan, Swatch sedang merayu kepada KDN supaya jam yang dirampas dipulangkan.